puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Anis Suraya, 46, lebih selesa mencurahkan bakti sebagai tenaga pengajar vokal dan seni persembahan sambilan untuk berkongsi ilmu dengan generasi muda.
Ini berikutan penyanyi lagi Cinta Tersimpul Rapi sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Anis atau nama sebenarnya, Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman berkata, selain mengajar vokal, dia turut mengajar alat muzik gamelan kepada pelajar sebagai satu cabang perkongsian ilmu.
“Hasrat untuk menyambung belajar ini sudah lama, cuma baru sekarang berpeluang selepas anak kelima sudah besar.
“Selain untuk kepuasan diri dan meningkatkan keyakinan diri, ia sebagai persediaan sekiranya saya mahu bergelar pensyarah pada masa akan datang,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas pembabitannya dalam dunia pendidikan, Anis melihat muzik sebagai satu bentuk terapi, terutama buat kanak-kanak yang terkesan dari segi keyakinan diri selepas pandemik Covid-19.
“Muzik terapi ini bukan kelas seni suara biasa, tetapi lebih kepada melatih kanak-kanak supaya lebih ‘alert’, membantu daya ingatan dan menenangkan fikiran mereka.
“Ramai kanak-kanak yang mengalami masalah tantrum dan kurang keyakinan diri selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi muzik inilah yang membantu mereka untuk kembali ‘on track’,” katanya.
Ditanya mengenai keputusannya untuk tidak lagi aktif dalam industri muzik arus perdana, ibu kepada lima cahaya mata ini menjelaskan faktor keluarga dan kesihatan mental menjadi keutamaan.
“Usia saya sudah mencecah 46 tahun, jadi sudah tiba masanya untuk saya memberi lebih tumpuan kepada keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.
“Saya memutuskan untuk tidak terlibat dalam platform arus perdana kerana ingin menjaga kesihatan mental suami dan anak-anak.
“Saya tidak mahu komen-komen negatif memberi kesan kepada keluarga. Tetapi, menyanyi itu sudah sebati dalam diri dan saya tidak akan berhenti.
“Bila saya selalu buat siaran langsung di TikTok untuk menyanyi, saya rasa dekat dengan peminat selain dekat dengan keluarga. Bagi saya, muzik itu ‘universal’ dan sebagai penyanyi, kita perlu bebas berkarya di mana-mana platform sekalipun,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




