Kuala Lumpur : Pelakon popular Anna Jobling sekali lagi meneruskan inisiatif istimewa apabila melaksanakan Projek Kad Raya 2026 sebagai tanda penghargaan kepada peminat menjelang sambutan Syawal yang bakal tiba.
Usaha peribadi itu dilakukan bagi mengekalkan tradisi kad raya yang semakin jarang diamalkan.
Selain menjadi cara Anna berhubung secara lebih dekat dengan mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.
Berbeza dengan ucapan digital yang hanya bersifat sementara, Anna memilih untuk menghantar kad bercetak yang direka khas dengan sentuhan peribadi.
Kad berkenaan akan diedarkan kepada peminat di Malaysia, Indonesia dan Singapura sebagai tanda terima kasih atas sokongan berterusan yang diterima sepanjang kerjayanya dalam industri hiburan.
Menurut Anna, projek berkenaan mempunyai nilai sentimental kerana membolehkan Anna berhubung dengan peminat secara lebih dekat dan tulus.
“Bagi Anna, kad raya bukan sekadar ucapan. Ia satu kenangan yang boleh disimpan. Setiap kali baca maklum balas peminat yang teruja menerima kad ini, Anna rasa usaha kecil ini sangat berbaloi,” katanya.
Bagi tahun ini, sebanyak 1,000 keping kad raya disediakan dan proses penghantaran dijangka bermula dalam masa terdekat.
Inisiatif berkenaan diharap dapat menjadi simbol penghargaan serta mengeratkan lagi hubungan antara Anna dan peminat, khususnya dalam meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




