am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Pelakon dan penerbit, Datin Anne Ngasri terus gagah melangkah dalam dunia perniagaan apabila melancarkan butik tudung yang diberi nama AN Bawal Exclusive Johor yang terletak di Taman Bukit Mewah di sini.
Anne, 41, atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, berkata biar pun sudah lama menjalankan perniagaan tudung bawal jenama itu, namun perancangan dan perjalanan membuka butik berkenaan hanya mengambil masa dua bulan setengah sahaja.
“Proses perjalanan butik ini sangat singkat sebenarnya. Saya pun tak sangka dalam dua bulan setengah kita dah boleh buka butik ini di sini. Hari ini dia (Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri) cakap, esok juga saya terus cari kedai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran AN Bawal Exclusive Johor di sini, semalam.
Selain berterima kasih kepada suami, Datuk Mohd Sumali Reduan dan ahli keluarganya, Anne turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bukan sahaja hadir menyempurnakan majlis pelancaran butik itu, namun sentiasa menyokong usahanya bergelar usahawan wanita berjaya.
“Ini satu penghargaan bukan sahaja kepada saya, tetapi wanita lain juga. Ini menaikkan semangat saya untuk terus menjadi usahawan wanita berjaya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Anne yang dikenali sejak zaman kanak-kanak lagi berkata, pembukaan butik itu memberi bukti bahawa bukan kerana kuatnya beliau, tetapi kerana adanya doa dan tangan yang diangkat buatnya.
“Ini bukan sekadar pembukaan butik, tetapi juga satu permulaan niat tulus untuk membina sesuatu yang memberi nilai bukan sahaja pada wanita tetapi pada ummah.
“Dengan dakwah kecil dari perniagaan ini dapat memberi mesej Islam menerusi rekaan yang sopan dan eksklusif,” katanya yang menjadi pemilik butik ke-12 Bawal Exclusive (BE) di Malaysia dan satu-satunya di Johor.
Pada majlis berkenaan, turut diadakan sesi memperkenalkan Duta Koleksi Madihah Bawal 2025 yang menampilkan adik bongsu kesayangan Anne, Nasshuhada atau dikenali dengan panggilan Baby serta rakannya, Marisa sebagai duta.
Dua insan istimewa itu dipilih bagi memperagakan koleksi baharu yang diberi nama sempena watak Anne dalam drama bersiri Dunia Baru iaitu Madihah.
Haliza pula melahirkan rasa syukur apabila butik terbaharu BE itu berjaya dibuka selepas sekian lama berdepan permintaan BE Lovers bukan sahaja dari Johor, tetapi Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd