Annuar dakwa keputusan PAU 2020 sudah ‘diatur’, perwakilan ‘dengar saja’

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, mendakwa usul untuk meluluskan ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh dibahas ahli Majlis Kerja Tertinggi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata Perhimpunan Agung Umno 2020 mungkin himpunan paling tersusun dan paling pendek, kerana hanya orang yang dilantik presiden boleh bercakap.

Beliau mendakwa semua jurucakap yang dipilih dibatalkan dan digantikan, walaupun himpunan kali ini “paling selamat”.

“Insyaallah, PAU 2020 perhimpunan paling tersusun dan paling pendek. Perwakilan dengar saja di bahagian masing-masing. Hanya ‘Top 6’ hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra sebagai penonton.

“Keputusan semua sudah ‘set’,” katanya dalam kenyataan di Facebook, mengulas PAU 2020 yang sedang berlangsung ketika ini.

PAU2020 yang bermula hari ini hingga esok menjadi tumpuan kerana Umno dikatakan akan menentukan nasib kerjasamanya dengan PPBM pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Annuar mendakwa usul untuk meluluskan ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi, yang dijadualkan esok, hanya boleh dibahas ahli Majlis Kerja Tertinggi.

“Matlamatnya adalah untuk ‘endorse’ semua senada…MKT luluskan ‘keputusan MKT’…kini bermakna MKT lebih tinggi dari PAU,” katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat “tentera maya” dan penulis blog yang bekerja kuat melontar pelbagai naratif untuk memburukkan sesiapa sahaja yang dijangka berbeza pendapat.

Annuar mendakwa pemimpin Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional seperti Ismail Sabri, Hishammuddin Hussein, Shahidan Kassim, yang dikatakan pro-kerjasama dengan PPBM, dan Noraini Ahmad, terus dijadikan mangsa “Team PWTC”.

Annuar, yang dilihat menyokong kerjasama dua parti itu berkata, Umno perlu terus bersikap terbuka dan bijaksana dalam berunding dan memimpin kesatuan dan parti Melayu.

Tambahnya, Umno yang kini menjadi kerajaan perlu memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya akan datang dan mengelak daripada menjadi parti yang berpecah belah.

“Sekiranya Umno tersalah pimpinan, tersalah pilih formula untuk menang, Umno bakal terjerumus ke posisi yang makin terpinggir dan kebangkitannya menjadi semakin sukar.”