Annuar Musa dah bayar denda langgar SOP, kata setiausaha

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa sudah membayar denda kerana menyalahi SOP pencegahan wabak Covid-19 pada Februari, kata pembantunya, Tun Faisal Ismail Aziz.

“Ya, benar. Dah bayar,” katanya kepada FMT.

Beliau selaku setiausaha akhbar Annuar bagaimanapun tidak menyatakan jumlah denda yang dibayar oleh menteri itu.

Pengesahan ini menyusuli kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin, bahawa Ahli Parlimen Ketereh itu telah membayar denda yang dikenakan, namun tiada butiran lanjut.

Pada 17 Feb, polis berkata kes akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas mengambil keterangan Annuar selama dua jam pada hari sebelumnya.

Dalam satu gambar yang tular di media sosial pada Februari, terpapar Annuar berkongsi meja dengan enam yang lain semasa di Cheras.

Mengikut peraturan ketika itu, hanya dua orang dibenarkan berkongsi meja semasa makan.

Annuar dalam catatan Facebook menjelaskan beliau hanya duduk sementara dan beredar selepas menyedari penganjur tidak mematuhi SOP.