ARUS dunia hari ini bergerak deras, melangkaui batas yang suatu ketika dahulu dijaga rapi oleh nilai dan norma masyarakat.
Apa yang dahulu dianggap tabu, kini dipersembahkan sebagai simbol keberanian dan apa yang dahulu disorok, kini diangkat sebagai ekspresi diri.
Namun, di celah kebebasan yang semakin diraikan itu, timbul satu persoalan besar, apakah semua yang mampu kita lakukan itu wajar untuk dibuat dan dipertontonkan?
Isu tatu yang hangat diperkatakan mutakhir ini bukan sekadar kisah peribadi seorang individu, ia sebenarnya membuka ruang kepada satu perbahasan yang lebih luas tentang bagaimana masyarakat hari ini menilai dosa, memahami empati dan meletakkan batas antara kebebasan diri serta kepatuhan kepada Sang Pencipta.
Apabila sesuatu yang jelas ditegah oleh agama dipaparkan secara terbuka, dihiasi dengan naratif yang menyentuh emosi dan disambut dengan simpati tanpa panduan, maka ia tidak lagi sekadar tindakan individu.
Ia perlahan-lahan membentuk satu persepsi baharu bahawa yang salah itu boleh diterima, asalkan ada cerita di sebaliknya. Di sinilah bahaya normalisasi dosa bermula.
Jelas, haram bertatu
Islam tidak meninggalkan ruang kekeliruan dalam isu tatu. Hukumnya jelas, tegas dan tidak berselindung. Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

BERADA dalam persekitaran positif turut membantu kita keluar daripada tekanan hidup. Foto Canva
Perkataan laknat bukan sekadar larangan biasa, ia menggambarkan kemurkaan dan penolakan terhadap perbuatan tersebut.
Dalam disiplin fiqh, sesuatu yang dilaknat menunjukkan ia berada pada tahap yang sangat serius dalam pelanggaran syariat.
Mengapa tatu diharamkan? Ini kerana ia melibatkan perubahan kekal terhadap ciptaan ALLAH SWT. Firman-NYA: “Dan sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan ALLAH), lalu mereka benar-benar mengubahnya.” (Surah al-Nisa’: 119)
Ayat ini menjadi asas kepada larangan mengubah fitrah kejadian manusia tanpa keperluan yang dibenarkan syarak.
Tatu bukan sekadar hiasan luaran tetapi satu bentuk intervensi kekal terhadap tubuh yang sebenarnya bukan milik mutlak kita, tetapi amanah daripada ALLAH.
Namun, dalam kita berbicara tentang hukum, kita juga perlu jujur melihat realiti manusia. Tidak semua yang tersasar itu berniat untuk menentang agama.

KETIKA tersilap langkah, kembalilah ke jalan yang benar dan minta ampun kepada ALLAH selain menutup aib daripada manusia. Foto Canva
Ada yang sebenarnya sedang berperang dengan dirinya sendiri dalam mencari makna, mencari ketenangan atau sekadar ingin melepaskan beban yang tidak mampu ditanggung sendirian.
Sebahagian melihat tatu sebagai simbol kekuatan. Ada yang menjadikannya sebagai tanda kepada luka yang pernah dilalui. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk healing proses menyembuhkan diri daripada trauma.
Tetapi persoalan yang lebih mendalam perlu ditanya: Adakah semua bentuk penyembuhan itu benar? Atau ia sekadar ilusi yang membalut luka tanpa benar-benar merawatnya?
Islam tidak pernah menolak hakikat bahawa manusia boleh terluka. Islam mengiktiraf kesedihan, tekanan, bahkan kejatuhan. Namun Islam juga memberikan jalan yang benar untuk bangkit.
Apa yang lebih membimbangkan dalam isu ini ialah cara ia dipersembahkan kepada masyarakat.
Beza empati dan kompromi
Apabila sesuatu yang salah dihias dengan estetika, disampaikan dengan cerita yang menyentuh perasaan dan diterima tanpa penegasan terhadap hukum, maka ia boleh mengaburi garis antara benar dan salah.
Lebih-lebih lagi dalam era media sosial, di mana setiap tindakan boleh menjadi contoh. Apa yang dipaparkan oleh seorang individu hari ini boleh menjadi inspirasi kepada ribuan orang esok hari tanpa mereka memahami sepenuhnya implikasi di sebaliknya.
Di sinilah kita perlu membezakan antara empati dan kompromi. Empati mengajar kita untuk memahami tetapi bukan untuk menghalalkan.
Kasih sayang tidak bermaksud membiarkan seseorang terus hanyut dalam kesilapan. Sebaliknya, kasih sayang yang sebenar ialah membimbing, walaupun pahit untuk didengar.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam keseimbangan ini dengan lembut dalam pendekatan tetapi tidak pernah menggadaikan prinsip. Baginda memahami manusia tetapi tidak pernah menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh ALLAH.

BANYAK cara lain untuk \’healing\’ atau meredakan tekanan termasuklah melancong sambil melihat keindahan alam yang diciptakan Ilahi. Foto Canva
Fenomena ini juga mencerminkan satu krisis yang lebih besar dalam masyarakat melalui krisis jiwa dan krisis hubungan dengan Tuhan. Apabila hati semakin jauh daripada nilai ketuhanan, manusia akan mencari pengisian di tempat lain.
Malangnya, tidak semua yang ditemui itu membawa kepada kebenaran. Tatu mungkin kelihatan kecil pada pandangan mata zahir kita, ia sekadar lukisan pada kulit. Namun hakikatnya, ia membawa simbol yang lebih besar tentang bagaimana manusia memahami dirinya.
Dalam dunia yang semakin lantang memperjuangkan kebebasan, Islam datang membawa satu definisi yang lebih tinggi bahawa kebebasan sebenar bukanlah melakukan apa sahaja yang kita mahu tetapi kemampuan untuk menahan diri daripada melakukan apa yang dilarang oleh ALLAH kerana tidak semua yang kita rasa itu benar.
Mungkin dalam usaha untuk sembuh, kita tidak memerlukan dakwat yang kekal di kulit tetapi taubat yang hidup di hati sebagai dakwat kekal dalam mengukir rasa cinta pada Ilahi kerana pada akhirnya, yang menyembuhkan bukanlah manusia, bukan juga lukisan pada tubuh tetapi ALLAH SWT Tuhan yang mencipta, memahami dan menerima setiap hamba yang kembali kepada-NYA.
***USTAZ KAMARUL AZUAN SHAH MOHD MASHUTI merupakan Guru Bidang Bahasa & Pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak



