Antara kegagalan moral dan tanggungjawab ummah

Antara kegagalan moral dan tanggungjawab ummah

Tragedi insiden rogol pelajar sekolah menengah bukan sahaja menggugat reputasi sistem pendidikan, malah menggoncang asas moral generasi muda.

Kejadian tersebut menjadi cerminan betapa seriusnya krisis nilai yang sedang melanda dunia pendidikan dan keluarga hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengakui bahawa kes berkenaan tidak boleh dipandang ringan. Jaminan diberikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkukuh garis panduan keselamatan sekolah serta memperkenalkan langkah-langkah pengawasan lebih ketat termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau turut menekankan keperluan sokongan psikososial bagi mangsa dan warga sekolah agar tidak terkesan secara emosi menjelang peperiksaan SPM. Pendekatan berlapis ini menandakan kesedaran bahawa isu rogol bukan sekadar kes jenayah, tetapi gejala sosial dan moral yang berpunca daripada kelonggaran nilai kemanusiaan.

Terdapat beberapa langkah dan tindakan bagi menangani gejala insiden tersebut daripada berulang kembali yang boleh diberi perhatian.

Pertama, memperkemaskan dan memantapkan pendidikan akhlak. Fenomena rogol dalam kalangan pelajar sekolah menandakan kegagalan pendidikan moral dan spiritual di peringkat akar umbi.

Dunia hari ini menyaksikan anak muda terdedah kepada rangsangan seksual tanpa kawalan, terutama melalui media sosial dan kandungan hiburan digital yang melampaui batas.

Kelemahan sistem pemantauan keluarga serta budaya diam terhadap salah laku seksual menyebabkan remaja mudah terjerumus ke lembah maksiat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

Larangan ini bukan hanya menolak zina secara langsung, tetapi juga segala pintu yang membawa kepada maksiat, termasuk pergaulan bebas, penggunaan telefon tanpa kawalan dan pendedahan kepada bahan lucah.

Pendidikan akhlak Islam menuntut kawalan diri, penanaman nilai malu (haya’) dan rasa takut kepada Allah SWT (khauf) sebagai benteng utama melawan godaan hawa nafsu.

Kedua, memperkasakan peranan sekolah dan kepimpinan moral. Tanggungjawab memastikan keselamatan pelajar tidak boleh diserahkan kepada undang-undang semata-mata.

Sekolah mesti berfungsi sebagai institusi moral yang membentuk karakter dan integriti. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga model akhlak yang memperlihatkan nilai kasih sayang, kejujuran dan tanggungjawab.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini memberi gambaran bahawa kepimpinan moral bermula dengan kasih sayang dan amanah. Apabila nilai ini diterjemahkan dalam pendidikan, pelajar akan terbiasa menghormati maruah diri dan orang lain.

Program bimbingan rohani, kaunseling Islamik dan budaya sekolah berasaskan nilai iman perlu dijadikan rutin. Sistem pelaporan kes salah laku pelajar juga mesti diperkemaskan agar pelajar berani bersuara tanpa takut kepada stigma.

Ketiga, mewujudkan pendidikan seksual Islamik sebagai pencegahan. Sebahagian masyarakat menolak pendidikan seksual kerana dianggap tabu, sedangkan Islam sendiri mengiktiraf keperluan mendidik anak-anak tentang batas pergaulan dan penjagaan maruah sejak kecil.

Pendidikan seksual Islamik bukan mengajar teknik atau biologi semata-mata, tetapi menekankan kesucian diri, tanggungjawab moral dan amanah terhadap tubuh yang dianugerahkan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu; sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.” (Surah al-Nisa: 29)

Ayat ini secara tersirat mengingatkan bahawa perbuatan mencemarkan maruah diri dan orang lain juga satu bentuk kemusnahan diri yang dilarang.

Kurikulum sekolah wajar menekankan konsep ‘iffah’ (kesucian), amanah jasmani, dan hormah (kehormatan diri) sebagai nilai asas dalam mendidik remaja.

Keempat, menjadikan keluarga dan komuniti sebagai benteng akhlak. Pendidikan akhlak bermula dari rumah. Keluarga yang berfungsi sebagai ‘madrasah’ pertama memainkan peranan penting membentuk tingkah laku anak-anak.

Suasana rumah yang hangat dengan kasih sayang dan bimbingan agama melahirkan anak berdisiplin serta tahu membezakan halal dan haram.

Ibu bapa perlu menjadi contoh dan pengawal moral terhadap penggunaan gajet, tontonan media serta pergaulan anak-anak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)

Apabila masyarakat membiarkan maksiat berlaku tanpa teguran, dosa tersebut menjadi tanggungjawab kolektif.

Budaya amar makruf nahi mungkar mesti dihidupkan kembali melalui pendekatan hikmah iaitu menegur dengan kasih, mendidik dengan hujah dan membimbing dengan contoh.

Kelima, menegakkan keadilan dan memuliakan maruah. Undang-undang Islam menegaskan bahawa rogol ialah jenayah besar (jarimah kabirah) yang merosakkan maruah, keturunan dan masyarakat.

Hukuman yang berat diperlukan agar menjadi pengajaran dan pencegahan. Namun, keadilan juga menuntut hak mangsa dibela serta diberi ruang pemulihan fizikal dan psikologi.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kehormatan seorang Mukmin lebih besar di sisi Allah daripada kehormatan Kaabah.” (Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini membuktikan betapa tinggi nilai maruah manusia dalam pandangan Islam. Tiada keampunan sosial bagi jenayah yang menganiaya tubuh dan maruah insan lain.

Demikianlah, tragedi rogol di sekolah bukan sekadar isu disiplin pelajar, tetapi petanda jelas kegagalan sistem nilai. Reformasi pendidikan moral dan rohani mesti dilaksanakan secara menyeluruh agar sekolah kembali menjadi tempat melahirkan insan beradab dan beriman.

Tanggungjawab membanteras gejala ini menuntut kerjasama antara Kementerian Pendidikan, institusi agama, ibu bapa dan masyarakat. Langkah keselamatan fizikal perlu diiringi dengan pengukuhan iman serta pengawasan moral.

Islam mengajar bahawa kehormatan manusia ialah hak asasi yang mesti dipertahankan. Mencegah jenayah rogol bermula daripada pendidikan jiwa iaitu mendidik rasa malu, menanam nilai takwa dan menginsafi akibat dosa.

Apabila akhlak ditegakkan, institusi pendidikan akan kembali menjadi taman ilmu yang subur dengan iman, akal dan maruah.

Penulis Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top