Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah berkongsi pengalaman mencemaskan di Facebook apabila penerbangan AirAsia dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit berubah menjadi hampir empat jam akibat cuaca buruk.
Penerbangan Anthony Loke dibatalkan, pesawat berdepan ribut petir
Loke yang menaiki pesawat AK6047 pada jam 10.45 malam memaklumkan cubaan untuk mendarat di KLIA terpaksa dibatalkan selepas pesawat berdepan angin lintang kuat dan ribut petir.
“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat dan ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan.
“Kami berpusing di ruang udara KLIA dan akhirnya pesawat terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak,” katanya.
Anthony Loke puji profesionalisme semua kru
Beliau turut memaklumkan beberapa penerbangan lain turut terkesan dengan keadaan cuaca sama malam itu.
Namun begitu, Loke memuji ketenangan serta profesionalisme tinggi Kapten Teng Huah Jer dan Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi.
“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penumpang.
“Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi seperti itu,” katanya.
Layanan kru kabin juga turut mendapat pujian, termasuk ketua kru Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah serta barisan petugas Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad yang sentiasa mesra walaupun terpaksa bekerja lebih masa.
“Walaupun mereka terpaksa bekerja lebih masa, kru tetap senyum dan meminta maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan. Mereka adalah contoh terbaik kru penerbangan,” tulisnya lagi.
Artikel lain: Pendirian saya, jangan ada lantikan politik dalam agensi pengangkutan awam – Anthony Loke
Susulan daripada itu, beliau berterima kasih kepada semua petugas darat, pengawal trafik udara dan kakitangan sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA atas tindakan pantas dan koordinasi cemerlang yang membolehkan semua penumpang selamat tiba.
Pesawat tersebut akhirnya mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 2.40 pagi, dan sebagai tanda penghargaan, Anthony Loke menunggu semua penumpang keluar terlebih dahulu sebelum meninggalkan pesawat.
Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook