SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan menyasarkan Pakatan Harapan (PH) memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keyakinan itu bersandarkan rekod gabungan berkenaan yang pernah memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Sudah tentu kita akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan dalam PH bagi memenangi kerusi-kerusi lain dan kita menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi di negeri ini.
“Ini kerana rekod kita pernah memenangi 20 kerusi pada tahun 2018. Jadi, kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut mengesahkan bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi DUN Chennah dan keputusan terbabit telah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti dan jawatankuasa negeri.
Menurutnya lagi, parti itu juga akan mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini, manakala senarai calon akan diumumkan dalam masa terdekat.
“DAP akan memainkan peranan secara bersungguh-sungguh untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi.
Bagi mencapai hasrat itu, saya telah membuat keputusan, dengan sokongan CEC serta jawatankuasa negeri, untuk terus mengetuai kempen pilihan raya dan bertanding pada PRN kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai mesyuarat khas yang diadakan, beliau berkata, ia bertujuan membincangkan persiapan parti bagi menghadapi PRN.
“Kita sedia maklum bahawa DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan pada Jumaat lalu dan kini menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh-tarikh penting termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Kita juga menjangkakan pengundian bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara serentak, kemungkinan pada Julai nanti,” katanya.
Anthony berkata, walaupun PRN kali ini dianggap mengejut, PH telah bersedia untuk menghadapinya demi mengembalikan mandat kepada rakyat.
Jelasnya, keputusan untuk membubarkan DUN dibuat susulan konflik yang berlaku apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini membentuk Kerajaan Perpaduan menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
“Walaupun terdapat persefahaman di peringkat pusat antara BN dan PH, bahawa ADUN BN akan tetap menyokong kerajaan serta memastikan kelulusan bajet tahun depan, tapi PH merasakan ini satu risiko yang perlu ditanggung terlalu besar untuk diambil.
“Jadi, sebaik-baiknya kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk mengadakan pilihan raya yang akan memutuskan parti mana yang mempunyai majoriti untuk mentadbir Negeri Sembilan,”katanya.
Menurut beliau, risiko utama yang perlu dipertimbangkan ialah kelulusan Bajet Negeri 2027 pada persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.
Jelasnya, sekiranya bajet gagal diluluskan, kerajaan negeri akan berdepan krisis pentadbiran kerana kerajaan tidak boleh berfungsi tanpa bajet yang diluluskan oleh DUN.
“Atas pertimbangan itu, PH memutuskan untuk membubarkan DUN dan DAP Negeri Sembilan menyambut baik keputusan tersebut serta bersedia menggalas tanggungjawab dalam pilihan raya ini.
“Misi pertama kita ialah mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini, manakala misi kedua adalah membantu PH memenangi lebih banyak kerusi sehingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya 20 kerusi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa setiausaha parti, Cha Kee Chin telah dilantik sebagai Pengarah PRN dan akan menyelaras gerak kerja kempen bersama parti-parti komponen PH.
Tambahnya, jentera PH dijangka akan dilancarkan pada Jumaat ini.



