'Anu' cedera angkara terkena mercun penyokong

'Anu' cedera angkara terkena mercun penyokong

Sucre: Seorang pemain bola sepak mengalami kecederaan pada bahagian kemaluan selepas terkena mercun.

Insiden ngeri itu berlaku dalam perlawanan Liga Divisyen Primera Bolivia antara pasukan The Strongest dan Blooming.

Pasukan tuan rumah, The Strongest, menang 3-2 dan penyerang mereka, Juan Godoy menjaringkan gol kemenangan.

Namun keadaan menjadi huru-hara selepas tamat perlawanan apabila penyokong mula menyalakan mercun di dalam stadium.

Mercun khas yang dikenali sebagai ‘llorona’ itu terkenal kerana pergerakannya di udara seperti roket.

Penyokong melancarkan mercun itu ke dalam padang sebaik perlawanan tamat, menyebabkan pemain dan kakitangan kedua-dua pasukan melarikan diri dalam ketakutan.

Namun, salah satu mercun itu terkena wira perlawanan, Godoy dan menyaksikannya kemudian rebah di atas padang.

Dia dilihat memegang bahagian sulitnya sebelum akhirnya dibantu keluar padang oleh petugas perubatan.

Laporan media Bolivia, El Deber, menyatakan bahawa Godoy mengalami melecur tahap satu pada paha dan hematoma (pembengkakan darah) di kawasan kemaluan.

Kelab The Strongest menyalahkan kumpulan ultras mereka, UltraSur atas kejadian itu.

Terdapat dakwaan bahawa mercun itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada protes berterusan terhadap pemilik kelab.

Namun UltraSur menjelaskan bahawa mereka menyalakan mercun itu sebagai tanda meraikan kemenangan, dan memohon maaf kepada Godoy.

“Kami ingin menyampaikan kepada semua penyokong kami permohonan maaf yang tulus atas kejadian yang berlaku.

“Tidak pernah kami berniat untuk mencederakan mana-mana pemain atau kakitangan kejurulatihan. Kami sentiasa mahu menyokong dan menyumbang, bukan meletakkan sesiapa dalam bahaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top