syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ini anugerah pertama selepas 60 tahun sejak mula berlakon di Studio Jalan Ampas,” kata pelakon veteran, A Galak, 84, yang menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), malam tadi.
A Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad berkata, ramai yang hairan kenapa dia yang juga dikenali sebagai ‘tok misai’ ini mengenali ramai pelakon di Shaw Brothers.
“Saya mula berkerja ketika berusia 19 tahun sampai studio itu ditutup pada 1967. Kemudian, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlakon di sini.
A Galak juga cukup popular menerusi drama kepolisan bersama Skop Productions dan turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat produksi itu, khususnya pemilik dan sahabatnya, Datuk Yusof Haslam.
A Galak yang juga digelar Sarjan Misai dalam drama kepolisan itu bekerja dengan Skop Productions selama 40 tahun.
“Dengan Skop Productions saja saya dah terbabit lebih dari 1,000 episod drama TV khususnya kepolisan dan juga beberapa filem di bawah arahan Yusof Haslam.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih saya kepada semua orang yang memberi peluang kepada saya. Budi kalian akan saya kenang sehingga akhir hayat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



