Anutin beri amaran bubar dewan lebih awal jika pembangkang teruskan usul undi tak percaya

Anutin beri amaran bubar dewan lebih awal jika pembangkang teruskan usul undi tak percaya

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, memberi amaran beliau mungkin akan membubarkan Dewan Rakyat lebih awal jika parti pembangkang meneruskan perbahasan usul undi tidak percaya yang didorong oleh motif politik.

Anutin berkata beliau tidak akan berdiam diri terhadap serangan yang bermotifkan politik, lapor TheThaiger.

“Jika perbahasan usul undi tidak percaya hanyalah permainan politik dan kerajaan tidak dapat menangkisnya, Dewan akan dibubarkan.

Perdana Menteri berkata pembubaran itu akan berlaku pada 31 Januari 2026, sebulan lebih awal daripada jadual asal.

Walaupun beliau tidak menamakan pihak lawannya, namun ramai percaya Anutin merujuk kepada parti Pheu Thai, parti yang sama ditinggalkannya selepas Paetongtarn Shinawatra disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan.

Perselisihan jawatan menteri punca Anutin keluar daripada gabungan pimpinan Pheu Thai, dan pembubaran dewan lebih awal dianggap langkah strategik

Beliau menjelaskan pengunduran beliau daripada gabungan yang diketuai parti Pheu Thai berpunca daripada pertikaian mengenai jawatan Menteri Dalam Negeri, yang pada asalnya telah dijanjikan kepadanya semasa pembentukan kerajaan gabungan.

Pertikaian itu akhirnya memuncak, menyebabkan beliau keluar daripada gabungan itudan kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri melalui undian baharu di Parlimen.

Anutin menegaskan pembubaran awal Parlimen bukan satu ancaman, sebaliknya langkah strategik bagi mengelak ‘serangan politik yang tidak perlu’.

Ia juga bagi memastikan kerajaan kekal fokus dalam berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, langkah itu tidak akan menjejaskan kalendar politik, kerana ia hanya mempercepatkan pilihan raya selama sebulan.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan utama pada seminar Thailand’s Next Frontier: A National Economic Vision” yang diadakan di Siam Paragon.

Dalam majlis itu, Anutin memperkenalkan pelan dasar ‘Quick Win’ selama empat bulan, yang bertujuan merangsang ekonomi, memperkukuh keselamatan sempadan, dan memulihkan komuniti yang terjejas akibat pertempuran di sempadan Kemboja.

Beliau turut menegaskan rancangan pembubaran Parlimen selaras dengan perjanjian bersama Parti Rakyat (People’s Party), yang menyokong pencalonannya sebagai perdana menteri.

Menurut laporan The Nation, perjanjian itu termasuk komitmen untuk memulangkan kuasa kepada rakyat melalui pilihan raya selewat-lewatnya awal 2026.

Apabila ditanya sama ada beliau bersedia menghadapi pilihan raya akan datang, Anutin dengan penuh keyakinan menjawab, beliau sudah bersedia sejak hari menarik Parti Bhumjaithai keluar daripada gabungan Pheu Thai.

Malah, Anutin juga menggesa ahli parlimen partinya supaya sentiasa bersiap sedia untuk berkempen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top