Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

New Delhi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 untuk berbincang dengan beberapa pemimpin dunia mengenai pelbagai isu termasuk perkembangan geopolitik dunia.

Antara pemimpin ditemui ialah Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov.

Selain mereka, Anwar juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala.

“Bicara kami menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau.

Beliau berkata keadaan itu menuntut kesatuan masyarakat dan pimpinan dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan.

Anwar tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerjanya ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri terletak di Pantai Malabar, selatan India.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama pada Ogos 2024.

Anwar kemudiannya akan berlepas ke Maldives esok (14 September).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top