Anwar harap sekurang-kurangnya satu emas di Olimpik 2028

Anwar harap sekurang-kurangnya satu emas di Olimpik 2028

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Buruan pingat emas Sukan Olimpik perlu dinoktahkan dengan saingan Los Angeles 2028 peluang terbaik buat kontinjen negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan penantian pingat emas pertama Malaysia akan berakhir pada temasya 2028 itu nanti selepas pelbagai bentuk bantuan disalurkan kerajaan.

“Saya rasa kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan sangat proaktif dan sangat menyokong. Anda semua ada menteri yang bagus, yang selalu ‘ganggu’ saya minta lebih banyak dana.

“Di bawah Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan), dan kini bersama (Tan Sri Mohamad) Norza Zakaria, kita harapkan sekurang-kurangnya satu pingat emas di Olimpik akan datang. Kalau tidak, mereka akan berdepan masalah,” katanya berseloroh pada majlis tanah pejabat baharu Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datin Anita Azrina binti Abdul Aziz dan Pengerusi Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Sebagai rekod, pelbagai sokongan dan bantuan disalurkan termasuk peruntukan sebanyak RM13.283 juta melalui program Road to Gold (RTG) sejak tahun 2023, kontinjen Malaysia pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sebarang pingat.

Untuk rekod, bangunan baharu NOC akan dibina di atas tanah seluas 5.38 ekar dengan keluasan lantai kasar berjumlah 140,973 kaki persegi.

Terletak di tengah-tengah ekosistem sukan negara, ibu pejabat baharu ini akan menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan sukan.

Kemudahan yang dibina khusus ini akan menampilkan pelbagai kemudahan moden termasuk auditorium, pusat sumber, gimnasium, muzium, galeri, kafe, surau dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top