sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat terus memperkukuhkan bahagian pertahanan pasukan itu dengan membawa masuk bekas pemain pertahanan Harimau Muda Bawah 19 Tahun (B19), Muhammad Anwar Ibrahim, dalam persiapannya menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26, bulan depan.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Kota Bharu Kelantan itu diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu skuad Hobin Jang Hobin kendalian Nidzam Jamil, bagi melengkapkan senarai barisan pertahanan.
Sebelum ini, pasukan berkenaan sudah memiliki beberapa tonggak pertahanan berpengalaman iaitu Ahmad Khuzaini Piee, Zainal Abidin Jamil, Harith Samsuri dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, Anwar yang mempunyai 22 penampilan bersama skuad B-19 negara memulakan karier profesionalnya bersama Felda United FC pada 2018 sebelum menyertai Selangor FC, dua tahun kemudian.
“Pada musim 2021, Anwar berhijrah ke Kuala Lumpur City FC dan menjadi sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Malaysia, sekali gus mencipta detik manis dalam kariernya.
“Kehadirannya bersama keluarga NSFC diharap dapat memperkukuh kubu pertahanan pasukan yang mahu tampil lebih kompetitif dalam saingan domestik dan kejohanan serantau.
“Kami percaya Anwar sudah bersedia untuk memainkan peranan proaktif di bahagian pertahanan pasukan Negeri Sembilan dan berharap dia dapat melaksanakan tugas diamanahkan dengan sebaik mungkin sekali gus menjadi tambahan penting dalam perancangan taktikal pasukan,” katanya.
Musim lalu, Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua tercorot dari kalangan 13 pasukan dengan merekodkan bolos 49 gol, antara tiga yang terbanyak bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan dan Kelantan Darul Naim FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd