BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kegagalan masyarakat antarabangsa dalam menangani kezaliman terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza walaupun dunia sering melaungkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
Beliau berkata, layanan berbeza dalam isu Palestin menimbulkan persoalan mengenai komitmen masyarakat antarabangsa terhadap prinsip kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia.
Menurutnya, prinsip demokrasi dan hak asasi manusia sepatutnya terpakai kepada semua manusia tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.
“Anda bercakap mengenai demokrasi, demokrasi siapa? Anda bercakap mengenai hak asasi manusia, manusia yang mana? Apabila manusia dilayan seperti haiwan dan hamba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena Global Sumud Congress 2026 di sini pada Selasa.
Anwar berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah dijajah mengajar rakyatnya supaya menentang segala bentuk penjajahan, imperialisme, ketidakadilan dan penindasan.
Bagaimanapun, katanya, dunia hari ini menyaksikan kekejaman berlaku di depan mata, sedangkan usaha masyarakat antarabangsa untuk memperjuangkan nasib golongan tertindas masih terbatas.
Beliau berkata, penderitaan rakyat Palestin bukan isu yang baru berlaku sejak dua atau tiga tahun lalu, sebaliknya mencerminkan kezaliman yang berlarutan selama puluhan tahun.
“Apabila membabitkan Palestin, mengapa terdapat perbezaan dari segi aturan, penghakiman dan perbincangan?” soalnya.
Anwar berkata, persoalan sama ada penderitaan rakyat Palestin berpunca daripada latar belakang mereka sebagai orang Arab, Palestin atau Islam tidak sepatutnya menjadi pertimbangan dalam memperjuangkan hak mereka.
Sebaliknya, beliau menegaskan, rakyat Palestin ialah manusia yang tidak sepatutnya terus dijajah atau menjadi mangsa penindasan dan kekejaman.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha rakan-rakan yang terbabit dalam Sumud Nusantara, sambil mengakui bahawa perjuangan berkenaan berdepan pelbagai cabaran.
Bagaimanapun, katanya, kesukaran itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan penderitaan rakyat Palestin, terutama kanak-kanak yang terpaksa menanggung kesengsaraan akibat konflik berpanjangan.
Anwar berkata, peningkatan kesedaran di Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin memberi harapan bahawa perjuangan menuntut keadilan untuk Palestin akan terus mendapat sokongan.

Perdana Menteri (duduk di tengah) bersama jemputan kenamaan, pihak penganjur dan peserta antarabangsa Global Sumud Congress 2026

Perdana Menteri (duduk di tengah) bersama jemputan kenamaan, pihak penganjur dan peserta antarabangsa Global Sumud Congress 2026
Beliau berharap usaha berterusan masyarakat antarabangsa akan membawa kepada kemenangan keadilan serta pembebasan Palestin.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penyertaan rakan dari luar negara dalam program berkenaan amat bermakna kerana mereka adalah sebahagian daripada gerakan antarabangsa yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan.
“Suara dari negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Filipina menunjukkan bahawa perjuangan itu turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa,” katanya..
Beliau turut menggesa semua pihak supaya terus berusaha memberikan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin, walaupun dalam skala kecil.
Menurutnya, tidak wajar bagi masyarakat antarabangsa mengambil sikap tidak melakukan apa-apa hanya kerana terlalu sibuk dengan urusan sendiri, sedangkan rakyat Palestin terus menanggung penderitaan.
Anwar turut berharap ALLAH SWT merestui segala usaha dan doa bagi menjamin kebebasan Masjid Al-Aqsa serta kemerdekaan Palestin.



