Anwar kesal tiada isu pokok diketengahkan pada himpunan pembangkang

Anwar kesal tiada isu pokok diketengahkan pada himpunan pembangkang

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk mendengar apa jua teguran atau kritikan dari semua pihak termasuk pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, beliau kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan pada himpunan pembangkang di ibu negara, semalam.

“Dalam menyusun langkah, teguran dan peringatan dalam perjuangan harus diraikan. Saya ucap terima kasih kepada semua yang berhimpun, semalam, kerana ia berlangsung secara aman.

“Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu,” Turunkan Anwar,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Dalam pada itu, beliau menekankan Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi, dan usul undi tidak percaya di Parlimen adalah proses sah.

“Ketua Pembangkang pula dikatakan mahu membawa usul undi tidak percaya. Silakan. Ini negara demokrasi.

“Usul itu adalah satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen.

“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan ini sempurna. Tetapi kita tidak sombong untuk membetulkan kelemahan.

“Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan. Namun, reformasi itu mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama PKR Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, beliau mengingatkan ahli parti agar terus berpegang kepada seruan islah mastata’tum, yakni berusaha melakukan perubahan dengan sedaya upaya.

“Kita tidak mampu menyempurnakan segalanya dalam sekelip mata, tetapi reformasi ini tetap kita bawa ke hadapan, setahap demi setahap,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Wilayah Persekutuan sejak awal menjadi antara benteng perjuangan PKR.

“Tapi kekuatan ini hanya bermakna jika terus berpaksikan nilai dan gerak kerja akar umbi.

“Cabang-cabang mesti terus hidup dengan program yang benar-benar menyantuni rakyat tanpa mengira kaum, umur atau latar,” katanya.

Presiden PKR itu berkata, parti berkenaan mesti kekal sebagai parti masa depan, terbuka menerima teguran, matang bertindak dan bersatu dalam tujuan.

“Kita bukan sempurna tetapi kita jujur. Selagi ada kejujuran dan semangat untuk membaiki, kita akan terus mara melangkaui mereka yang hanya tahu menjerit tanpa arah serta tawaran,” katanya.

Mengenai pengumuman penurunan harga RON95 pula, Perdana Menteri berkata, ia adalah langkah berani dan rasional demi memastikan wang negara dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak.

“Kita menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 untuk rakyat Malaysia dengan menarik subsidi daripada warga asing.

“Ini adalah langkah berani dan rasional demi memastikan wang negara dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak dan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, tanpa meruntuhkan asas ekonomi negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top