Anwar seru kembalikan ‘kewarasan’ pemimpin dunia demi keamanan sejagat

Anwar seru kembalikan ‘kewarasan’ pemimpin dunia demi keamanan sejagat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan wujudnya keperluan untuk mengembalikan ‘kewarasan’ dalam kalangan pemimpin dunia bagi menjamin dan mengembalikan semula keamanan sejagat.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakui sedikit bimbang dengan pelbagai isu politik khususnya di peringkat antarabangsa.

“Berikanlah kami kekuatan untuk terus berazam bekerja dengan lebih keras serta memelihara keamanan dan kewarasan, bukan sahaja di sini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kebimbangan utama saya mengenai politik antarabangsa, yang tidak mahu saya sentuh panjang ketika ini, ialah keperluan untuk mengembalikan kewarasan dalam kalangan pemimpin politik.

“Semoga Allah mengurniakan keadaan itu jika tidak sepenuhnya di rantau ini, sekurang-kurangnya di beberapa rantau lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Tahun 2026 Kementerian Luar di sini hari ini.

Dalam konteks di negara ini, Anwar berkata, setiap rakyat perlu memastikan dalam diri masing-masing wujud perasaan keterangkuman dan semangat setiakawan.

“Ini merupakan antara elemen utama dalam kerangka Madani, iaitu soal hormat. Dalam negara berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia adalah penting untuk bergantung kepada keupayaan dan kesediaan kita untuk menerima antara satu sama lain,” katanya.

Mengambil contoh beberapa sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Anwar berkata, beliau melihat tebalnya sikap unik, toleransi dan hormat rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Bayangkan di Malaysia, masyarakat Cina menganjurkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina beberapa hari lebih awal bagi mengambil kira perasaan saudara dan saudari Muslim supaya dapat sama-sama bergembira dalam satu majlis dan menikmati jamuan bersama.

“Saya memberitahu rakan-rakan Cina saya, khususnya yang menganjurkan majlis besar itu, bahawa saya tidak kisah walaupun diadakan dalam bulan Ramadan; jika pada waktu siang saya tidak akan makan, dan pada waktu malam saya akan makan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top