am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan pengenalan notis atau papan tanda pelbagai bahasa, kononnya dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara ini.
Perdana Menteri berkata, ia juga bukan suatu keperluan yang mendesak untuk memastikan Malaysia menjadi destinasi mesra pelancongan global.
Ketika ini, beliau menegaskan memadai dengan kemudahan yang disediakan di lapangan terbang untuk membantu pelancong asing.
“Yang cadangan tentang tulis (pelbagai bahasa), tak payahlah. Kalau orang Arab ramai datang (ke Malaysia) adakah (kena) tulis (notis atau papan tanda) dalam Bahasa Arab? Kita bagi kemudahan di lapangan terbang. (Jadi) tak payah papan tanda dalam Bahasa Arab.
“Begitu juga kalau (pelancong) orang China datang. Kita bagi papan tanda dekat lapangan terbang untuk membantu mereka tapi tak perlu kita gunakan papan tanda dalam Bahasa China. Terlalu banyak.
“Begitu juga (pelancong) orang India. Orang India banyak bahasa lain-lain. Tamil pun ada, Hindi pun ada dan Urdu pun ada.
“Jadi bagi saya tak perlu. Tidak mendesak. Dia (pelancong asing) datang (ke Malaysia) tak semestinya desakan papan tanda tulisan dalam bahasa mereka,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT)
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbang menyediakan notis dan papan tanda pelbagai bahasa.
Menurut Wee Tse, pengenalan notis dan papan tanda pelbagai bahasa antaranya Bahasa Tamil, Bahasa Cina, Bahasa Hindi dan Bahasa Korea untuk memudahkan pelancong asing yang datang ke negara ini.
Wee Tse berkata, ia juga dapat menjadikan Malaysia sebuah negara mesra pelawat sekali gus berupaya menarik lebih ramai pelancong asing seperti dari China dan India.
© New Straits Times Press (M) Bhd




