am@hmetro.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Pemilihan PKR 2025 sama sekali tidak akan menyebabkan berlakunya rombakan Kabinet.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menghalang jika ada mana-mana pimpinan berhasrat melepaskan jawatan dalam kerajaan disebabkan pemilihan parti berkenaan.
“(Pemilihan parti) ini pertandingan di antara sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama sekali perubahan Jemaah Menteri.
“Saya tidak tahu, tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita (ingin lepaskan jawatan dalam Kabinet jika tewas pemilihan). Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan (Kabinet),” katanya ketika ditemui pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan ini.
Yang turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Rafizi dalam program podcast Yang Bakar Menteri, Yang Berhenti Menteri? baru-baru ini dilaporkan berkata, beliau bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu.
Beliau berkata, walaupun berundur daripada Kabinet, namun tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan akan tetap diteruskan dan ketika itu beliau bebas untuk berbicara dalam apa sahaja perkara.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan semua ahli parti itu supaya memilih pemimpin yang mampu memperkukuhkan jentera parti.
“Dengan pertandingan ini, saya tekankan, pilih yang mampu bantu perkukuh jentera parti dan merangkul segala kekuatan,” katanya.
Pada pemilihan PKR hujung minggu ini, Rafizi akan berdepan dengan Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan nombor dua parti berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd