Anwar tegur tokoh agama, guna kedudukan pecah-belahkan masyarakat

Anwar tegur tokoh agama, guna kedudukan pecah-belahkan masyarakat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan berselindung di sebalik nama agama itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.

Katanya, meskipun Islam sebagai agama rasmi di Malaysia namun beliau tetap memberi jaminan hak serta kebebasan beragama kepada kaum lain seperti yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan.

“Malaysia ini Islam adalah agama Persekutuan, (majoriti rakyatnya) beragama Islam. Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju ikrar untuk jamin masa depan dengan aman, bersama semua kaum dan hak semua agama.

“Baru boleh aman. Jadi bagi saya majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu perlu mengambil sikap positif,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peluncuran program yang dijalinkan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Hal Ehwal Agama itu, Anwar berkata beliau senang melihat tokoh muda di kedua-dua kementerian itu hanya memberi fokus kepada masa depan negara.

“Ini menteri, baru nampak idea dia hebat, dia pakat (kerjasama) pula dengan menteri agama. Jadi saya senang bila begitu, kita ada tokoh-tokoh muda yang tidak sibuk dalam isu yang memecah belahkan tapi gunakan Ramadan dan Madrasah untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita.

“Ia secara positif adalah sesuatu yang membina kerana dalam negara ini bagilah fakta baik sebanyak mana pun, STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA, pertumbuhan yang tinggi, pengangguran yang rendah, inflasi yang rendah, pelaburan yang tinggi tetapi semua itu akan terpadam kerana kita tumpu hanya pada permasalahan titik bengik yang boleh memecahkan di antara kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top