Anwar tersenarai 15 dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia

Anwar tersenarai 15 dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenarai di tempat ke-15 dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.

The Muslim 500 untuk edisi 2025 itu diterbitkan oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre (MABDA), sebuah pusat kajian bebas yang bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt yang beribu pejabat di Amman, Jordan.

Anwar juga berada di tempat kesembilan dalam dalam kategori pemimpin dan ahli politik.

The Muslim 500 juga menyenaraikan Raja Jordan Raja Abdullah di tempat pertama diikuti Ulama dan Pengarah Dar Al Mustafay, Tarim Yaman Sheikh Al-Habib Umar bin Hafiz; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Pemimpin Tinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei dan Raja Arab Saudi, Raja Salman.

Turut tersenarai di tempat ke-18 dan 19 ialah Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto dan Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf.

The Muslim 500 berkata, Anwar mencipta kemuncak perjalanan politik menjangkau tiga dekad apabila beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

Katanya, kelantangan Anwar dalam isu Gaza memperjuangkan hak rakyat Palestin dengan menentang kependudukan haram Israel.

Malah penerbitan itu turut menekankan mengenai kejadian syarikat gergasi teknologi Meta yang menurunkan hantaran Anwar terhadap pemimpin Palestin yang dibunuh, Ismail Haniyeh.

“Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk mendiang pemimpin Hamas yang dibunuh Ismail Haniyeh) mendapat kritikan dari Amerika Syarikat.

“Catatan media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh diturunkan, mendorongnya untuk meyelar META; ‘Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen Zionis Israel yang menindas’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top