Anwar: The Untold Story kutip RM1 juta hari pertama

Anwar: The Untold Story kutip RM1 juta hari pertama

KUALA LUMPUR – Filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah apabila menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, semalam.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, filem berdurasi 108 minit itu ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia.

DMY Creation selaku pengedar rasmi filem itu mengesahkan kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

“Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

“Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

“Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir bagi menyaksikan Tayangan Perdana Filem Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa diterima.

“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

“Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai filem Anwar: The Untold Story, Zunar berkata, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam.

“Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.

 

Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Mengenai harapannya terhadap filem Anwar: The Untold Story, Zunar berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.

“Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988.

“Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Anwar: The Untold Story turut menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar: The Untold Story turut menjalani penggambaran di Indonesia.

Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya. – MalaysiaGazette