Anwar tidak mahu teruskan sistem lama hukum musuh bila jadi PM

Anwar tidak mahu teruskan sistem lama hukum musuh bila jadi PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu meneruskan sistem lama di mana mereka yang menjadi Perdana Menteri akan menghukum musuh politik.

Menurut Perdana Menteri, beliau memahami keresahan yang dirasai oleh ahli politik kerana pernah melalui proses tersebut.

“Mengapa saya kata saya faham dan mengerti sedikit sebanyak keresahan kerana kita mewarisi sistem yang sedemikian bahawa orang politik rakus, zalim menggunakan kuasa untuk mendera orang.

“Saya melalui proses itu. Sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak sanggup gunakan kuasa begitu rupa.

“Tetapi oleh kerana orang itu biasa dengan sistem begini puluhan tahun, dia rasa beginilah caranya. Siapa jadi Perdana Menteri dia akan tangkap musuh dia dan akan dera,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika diminta ugutan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menarik sokongan terhadap kerajaan jika tidak ada penjelasan mengenai keputusan membebas tanpa melepaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar sekali lagi menegaskan, beliau tidak mencampuri kes yang melibatkan Ahmad Zahid kerana bukan di bawah bidang kuasa beliau.

Perdana Menteri turut mengulas mengenai desakan Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim Razali agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membahaskan isu pembebasan Ahmad Zahid.

Anwar berkata, Atyrah Hanim perlu memahami mengenai pembahagian kuasa dan menyedari bahawa Parlimen bukan mahkamah.

“Itu pandangan anak muda kita kena santuni, mana boleh kes mahkamah runding di Parlimen dia kena faham apa yang disebut pembahagian kuasa, Parlimen bukan mahkamah.

“Dia boleh tanya soalan, dan kita akan cuba jawab. Peguam Negara bukan ahli Parlimen, bukan menteri. Jadi kita harus ada ruang ahli Parlimen bertanya, tapi jangan jadikan Parlimen itu sidang mahkamah,” kata Anwar.

Beliau ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 4 September lalu memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding.-MalaysiaGazette