Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian bapa mentua

Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian bapa mentua

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin atas pemergian bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah.

Anwar menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dalam mendepani ujian berat itu.

“Saya mendoakan yang terbaik serta dikurniakan ketabahan setingginya buat saudara Hamzah sekeluarga atas ujian berat ini, serta roh Almarhum diampunkan segala dosanya, dilapangkan kuburnya serta diberi tempat yang dekat di sisi-Nya, insya-Allah,” kata Perdana Menteri.

Abdul Ghani disahkan meninggal dunia pada 1.45 tengah hari tadi.

Difahamkan Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan mengalami komplikasi dalaman dan sesak nafas selepas terbabit dalam kebakaran di rumahnya pada 19 Jun lepas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top