“Apa-apa saham itu modal berbayar la Tan Sri!”
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, meluahkan rasa terkejut terhadap penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berhubung pemilikan sahamnya sebelum ini.
Rafizi berkata penjelasan Azam bahawa pembelian sahamnya tidak melibatkan modal berbayar memberi gambaran bahawa beliau tidak memahami konsep saham, walaupun mengetuai agensi yang menyiasat banyak jenayah kolar putih melibatkan transaksi saham dan kewangan yang kompleks.
‘Apa-apa saham itu modal berbayar la Tan Sri!’

“Mungkin lebih baik Tan Sri Azam Baki bercuti dahulu untuk pergi balik ke kelas dan memahami mengenai saham.
“Bimbang saya macam mana Tan Sri nak mengemudi SPRM yang kena siasat pasal macam-macam salah laku yang melibatkan saham ni,” katanya melalui video pendek yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Semalam, Azam menjelaskan beliau telah melupuskan semua pegangan saham sejak tahun lalu, susulan laporan media bahawa beliau memiliki saham dalam Awanbiru Technology Berhad dan Velocity Capital Partner Berhad yang jauh melebihi had ditetapkan ke atas penjawat awam.
Menurut Pekeliling Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024, penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus modal berbayar atau RM100,000 berdasarkan nilai semasa.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka dan telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jika ada yang mengatakan ia masih di bawah modal berbayar, namun saya membelinya pada kadar 1.25 peratus daripada jumlah saham yang ditawarkan kepada orang awam,” katanya.
Menjawab penjelasan Azam, Rafizi menegaskan semua saham merupakan modal berbayar, sama ada dibeli di pasaran terbuka atau tidak.
“Bagi syarikat sendirian berhad, syarikat menerbitkan saham kepada rakan-rakan kongsi yang memegang saham. Bila rakan kongsi beli saham, itu bermakna mereka suntik modal berbayar ke dalam syarikat sendirian berhad itu. Bagi syarikat yang lebih besar, mereka dibenarkan menerbitkan saham untuk mengumpul modal berbayar di pasaran terbuka iaitu Bursa Kuala Lumpur.
“Bila Tan Sri Azam Baki beli saham syarikat-syarikat senaraian awam ini melalui pasaran terbuka, maknanya dia memiliki sebahagian syarikat-syarikat ini dan sahamnya itu telah menjadi modal berbayar syarikat-syarikat ini.
“Takkan itu pun tak paham Tan Sri,” sindirnya.
Rafizi turut menegaskan had pegangan saham terhadap penjawat awam adalah jelas dan munasabah.
“Kalau penjawat awam ada saham yang besar dalam sesuatu syarikat, timbul persoalan dari mana dia dapat wang untuk membeli saham-saham itu dengan gaji penjawat awam.
“Lebih berbahaya lagi, timbul pertembungan kepentingan atau conflict of interest kerana ada keputusan-keputusan awam atau penguatkuasaan yang boleh dipengaruhi oleh kepentingannya di dalam syarikat atau industri tertentu,” katanya.
Artikel lain: Azam Baki tegaskan bekerja tak ikut telunjuk sesiapa, termasuk Perdana Menteri
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, tanpa merujuk kepada kes tertentu, bahawa pihaknya sedang menyemak semula peraturan berkaitan kerja sampingan dan pemilikan saham.
Peraturan pemilikan saham yang menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh membeli saham bernilai lebih daripada RM100,000 dalam sesebuah syarikat telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya sejak tahun 2002.
“Semakan itu berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi,” kata JPA.
Sumber: FB Rafizi Ramli





