Apa di sebalik agenda Pemetaan Semula Asia Barat (NME)?

Apa di sebalik agenda Pemetaan Semula Asia Barat (NME)?

SEMALAM, hasil perbincangan dengan Abang Haris Zalkapli mengenai Geopolitik, antara yang yang timbul ialah mengenai sejauh mana kejayaan agenda Barat untuk Pemetaan Semula Asia Barat (New Middle East).

Umum sedia maklum, agenda NME merupakan antara projek untuk membangunkan Israel Raya yang meliputi kawasan antara Sungai Nil dan Sungai Euphrates.

Sejarah

Secara ringkasnya, projek Israel Raya boleh dikatakan lahir daripada cetusan Theodore Herzl sejak 1896. Ditambah pula dengan kepercayaan orang Yahudi terhadap Kitab Talmud mereka.

Kemudian, pada 1982, idea ini dilontarkan dalam sebuah majalah dengan berbahasa Ibrani oleh Oded Yinon. Di sinilah mula muncul terma Yinon Plan.

Pada 1983, Pemetaan Semula Asia Barat dikembangkan oleh Bernard Lewis, kemudian 2006 oleh Ralph Peters, dan yang terakhir oleh Robin Wright selepas Arab Spring pada 2013.

Sektarian

Apabila dilihat kepada gaya pemetaan tersebut, banyak berpandukan kepada perkembangan perang mazhab yang berlaku sesama umat Islam. Menggambarkan agenda Israel Raya boleh mudah ditegakkan dengan isu sektarian sesama orang Islam.

Dalam pada itu, RAND Corp yang merupakan Badan Penyelidik bagi Amerika turut memainkan peranan untuk membakarkan lagi isu sektarian mazhab ini.

Contohnya dalam Civil Democratic Muslim, Unfolding The Future of Long War, dan lain-lain. Rata-rata melihat isu sektarian ini sebagai potensi yang besar untuk melemahkan pengaruh Islam.

Hari ini

Apabila kita meneliti perkembangan semasa mengenai Agenda Pemetaan Semula Asia Barat ini, kita dapat saksikan bahawa dunia sedang bergerak ke arah itu. 

Walaupun secara rasminya tidaklah sampai sempadan itu bergazet secara undang-undang, namun secara tak rasminya beberapa tempat sudah pun menjadi.

Contohnya kebangkitan golongan Kurdi untuk menegakkan Kurdistan Raya, Iraq dan Syria terpecah menjadi tiga, Saudi yang mengecil sehingga tertubuhkan Islamic Sacred State dan sebagainya.

Kita melihat pecahan-pecahan ini tidaklah wujud secara rasmi, namun, realitinya sudahpun terjadi secara tidak rasmi.

Kurdistan

Beberapa tahun lepas, puak Kurdistan bangkit untuk mewujudkan negara mereka tersendiri. Kelompok ini berada di utara Iraq, sempadan Turki-Iraq, Utara Iran dan Syria. 

Dalam NME meletakkan bahawa Negara Kurdistan Raya itu wujud. Jadi, agenda ke arah mewujudkan negara itu berjalan melalui gerakan-gerakan kebangkitan di beberapa buah wilayah yang saya nyatakan tadi.

Walaupun hari ini belum wujud negara itu, namun beberapa wilayah telah dikuasai oleh puak tersebut. Contohnya di utara Iraq, di kawasan hulu sungai, Mosul dan sekitarnya.

Termasuk juga di utara Syria, dan Selatan Turki. Banyak kawasan yang telah didominasi oleh puak-puak Kurdi.

Iraq dikerat menjadi tiga

Susulan daripada kebangkitan Kurdistan ini, apa yang kita lihat hari ini Iraq ‘seolah-olah’ telah pun terbahagi menjadi tiga, selaras dengan apa yang dipetakan dalam NME.

Di Utara dominasi Puak Kurdistan, di tengah puak Sunni, dan di Selatan puak Syiah. Walaupun tidak dikerat secara rasmi, namun setiap kelompok menguasai wilayah masing-masing.

Syria

Hari ini Syria telah wujud beberapa wilayah yang didominasi oleh puak Kurdistan, ada wilayah yang didominasi oleh Kerajaan Syria, dan ada wilayah yang didominasi oleh kumpulan-kumpulan lain.

Kumpulan-kumpulan tersebut ialah kumpulan militan yang tidak tahu dari mana datangnya. Asalnya kumpulan kecil, tetapi apabila menguat, mereka melawan dan menguasai kawasan tersebut.

Dalam NME Versi Robin Wright (2013) sememangnya Syria itu digambarkan terpecah menjadi tiga, iaitu Alawistan, Sunnistan dan Syiistan. 

Yaman

Hari ini, Yaman juga dilihat sudah terpecah menjadi tiga. Walaupun realitinya, ia terpecah menjadi 2. Kawasan-kawasan Bandar, kawasan padat penduduk, dikuasai oleh Houthi.

Contohnya San’aa, Pantai Barat (Laut Merah), Pelabuhan Hudaidah, sehinggalah ke Aden. Di kawasan ini, Houthi dah boleh dikira macam kerajaan.

Namun, di sebelah Selatan ada satu lagi puak khusus yang mendapat sokongan UAE. Kedua-dua puak inilah yang kuat di Yaman. Sebab itu baru baru ini, Houthi dengan selamba bertindak ke atas kapal kapal Israel.

Libya

Libya sejak Arab Spring, sukar untuk dikatakan stabil. Apatah lagi negara itu berpotensi untuk mengaut hasil kekayaan Mediterranean. Sebelum ini pernah ‘diganggu’ oleh movement Haftar.

Ketika movement tersebut, Libya boleh dikatakan terpecah menjadi dua. Wilayah disebelah Utara (Tripoli) masih lagi didominasi oleh Kerajaan, manakala wilayah yang lain boleh dikatakan banyak dikuasai oleh Haftar.

Manakala kumpulan-kumpulan militan yang tidak berpihak kepada mana-mana, mendominasi wilayah di sebelah Selatan Libya.

Arab Saudi

Dalam NME, Arab Saudi akan terpecah sehingga muncul ‘negara baru’ yang bergelar Islamic Sacred State. Arab Saudi di sebelah Laut Merah dikuasai oleh satu kumpulan, manakala kawasan menghala ke Riyadh dikuasai oleh kumpulan lain.

Jika diperhatikan kepada Israel Raya, separuh Arab Saudi (bahagian Utara) itu diplotkan sebagai wilayah empayar itu. 

Tambahan pula orang-orang Arab ini sangat berpengaruh pada kabilahnya, mazhabnya, dan ideologinya. Justeru, elemen-elemen ini menjadi modal untuk memecahkan negara-negara Islam.

Hasilnya?

Secara umumnya, konflik demi konflik yang terjadi di Asia Barat menggambarkan kepada keberjayaan Pemetaan Semula Asia Barat tanpa sedar. 

Walaupun belum sepenuhnya terkerat secara rasmi, namun, kita boleh katakan negara-negara ini sudah pun terkerat, dan menjadi berbilang-bilang. Kekuatan Islam semakin melemah, manakala semangat mazhab semakin menguat.

Apabila diperhatikan semula kepada agenda Israel Raya, apabila negara-negara Islam berpecah-pecah, maka mudahlah jalan untuk menegakkan empayar itu. 

Masing-masing berkonflik menegakkan mazhab, sedangkan politik tanah air mereka dikuasai oleh Yahudi dan proksi-proksinya. Begitulah yang terjadi. 

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/12/2023

Advertisement

Scroll to Top