'Apa guna gambar itu, nak menunjukkan saya lelaki tua yang jijik?'

'Apa guna gambar itu, nak menunjukkan saya lelaki tua yang jijik?'

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan tindakan ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman memuat naik gambar yang disunting memegang minuman keras sebagai berniat memalukan dirinya.

Abdul Kadir, 86, berkata imej itu disiarkan ahli perniagaan terbabit di laman sosialnya sebelum dipadamkan semula.

“Gambar itu sengaja (disunting) diletakkan gelas wain, botol arak dan perempuan cantik. (Jadi orang melihat) ini kaki betina, kaki arak. Itu memperdayakan.

“Yang Arif, pada saya ini dosa besar. Apa guna gambar itu, nak menunjukkan saya lelaki tua yang jijik?” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Ravichandaran Selliah yang mewakilinya di sini, hari ini.

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu menafikan beliau seorang lelaki yang jahat, ‘kaki perempuan’ dan gengster seperti digambarkan melalui imej berkenaan.

Beliau berkata, gambar yang disunting dan dimanipulasi Aliff Syukri selaku defendan itu sebenarnya diambil daripada satu majlis yang dihadirinya sebagai tetamu kehormat bersama seorang penyanyi terkenal di sebuah hotel di ibu kota pada 2023.

Katanya, imej itu disiarkan dengan niat tersembunyi untuk mencemarkan reputasinya dengan menggambarkan sebagai seorang yang tidak bermaruah dan tidak layak dihormati.

Dalam prosiding sama, Abdul Kadir turut menafikan dakwaan wang pelaburan yang diterima daripada Aliff Syukri diberikan kepada parti pembangkang, PAS untuk membiayai kos pilihan raya.

Abdul Kadir selaku plaintif memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 38, yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan dikeluarkan membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, beliau menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top