PUTRAJAYA: Kerajaan diminta menjelaskan status pelaksanaan Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas digabungkan dengan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) sejak Mei tahun lalu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, kedudukan kolej itu menjadi tanda tanya adakah langkah penggabungan itu diteruskan atau sebaliknya pada masa ini.
Katanya, ini termasuk perkembangan penstrukturan, tadbir urus serta hala tuju strategik pasca penggabungan itu.
Beliau berkata, penggabungan kedua-dua institusi pendidikan tersebut telah dimuktamadkan pada 13 Mei 2025 dalam Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) dan 25 Ogos 2025 dalam Majlis Memorandum Perjanjian (MoA).
“Kedua-dua Majlis MoU dan MoA tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Langkah penggabungan tersebut bukan sekadar penyatuan pentadbiran, tetapi usaha strategik memperkukuh ekosistem pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan profesional khususnya bagi anak-anak asnaf dan keluarga B40 di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, beliau menyokong usaha kerajaan melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan kepada pembentukan insan beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan.
Katanya, ini termasuk usaha peluasan Laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan diperkenalkan seawal peringkat sekolah rendah.
“Penyatuan ini dijangka dapat mengoptimumkan sumber, mengelakkan pertindihan program, serta mewujudkan laluan pendidikan yang lebih jelas daripada kemahiran teknikal ke tahap profesional iaitu selari dengan TVET dalam RPN 2026–2035,” katanya. – UTUSAN



