Pelakon dan penyanyi, Nelissa Nizam, 27, mengesahkan telah menghubungi ibunya, Ayu Manaf dalam usaha menyelesaikan kemelut yang timbul sejak kebelakangan ini.
Namun begitu, bekas anggota kumpulan The Gadys ini memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut sehingga dapat bertemu secara bersemuka dengan ibunya.
Menurut Nelissa, dia lebih selesa menyelesaikan isu tersebut secara peribadi bersama ahli keluarganya tanpa melibatkan perhatian umum.
“Alhamdulillah, saya sudah menghubungi ibu dan kini menunggu kesediaannya untuk bertemu. Buat masa ini, saya perlu bertemu ibu terlebih dahulu sebelum memberi apa-apa kenyataan. Mungkin dia juga sibuk dengan urusan perniagaannya kerana dia ada menjual sambal.
“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini kerana ia melibatkan keluarga. Seharusya ia diselesaikan antara keluarga. Apa sahaja yang ibu kongsikan, saya enggan komen lanjut,” katanya.

Terdahulu, Nelissa didakwa mendedahkan pengalaman membesar dalam suasana sukar sebagai mangsa keganasan rumah tangga, namun kenyataan itu telah dinafikan oleh ibunya.
Dalam satu laporan media, Ayu memberikan penjelasan bagi meleraikan spekulasi selepas kenyataan Nelissa mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan.
Ayu turut mendakwa hubungan dengan anak-anaknya menjadi renggang, dipercayai berpunca daripada perkahwinan baharunya.
Ketika ditanya mengenai kecaman yang diterima susulan isu bersama ibunya, Nelissa menegaskan dia tidak mengambil pusing selagi komen tersebut tidak melibatkan ibunya.
“Biarlah orang nak cakap apa sahaja. Kalau ada yang ingin bercakap, biar mengenai saya, bukan ibu.
“Keadaan saya setakat ini baik sahaja. Perjalanan hidup saya hanya diketahui oleh keluarga. Apa yang orang lain komen, itu di luar kawalan saya.
“Ketika isu itu timbul, saya sedang bekerja. Saya berada di Karnival Jom Heboh Kota Kinabalu. Saya kena utamakan kerja saya terlebih dahulu. Saya perlu bersikap profesional dan memastikan orang di sekeliling tidak terkesan.
“Saya berharap dapat bertemu keluarga dan menyelesaikan semuanya secara privasi,” katanya kepada XTRA.

Nelissa ditemui pada tayangan perdana filem Sahak Gangster di GSC IOI Damansara Mall, Kota Damansara, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Nelissa akan muncul dalam filem Sahak Gangster arahan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri terbitan Millennium Megamas Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari hadapan.


Selain Nelissa, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Hariz Hamdan, Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.




