fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tidak dipanggil mahupun menerima surat amaran jika melakukan kesilapan ketika bertugas, kontrak bekas Setiausaha Kebudayaan, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Perunding Kreatif, Kementerian Luar, Datuk Seri Eizlan Yusof ditamatkan tanpa alasan yang kukuh.
Ahmad Idham dan Eizlan menerima surat penamatan kontrak pada Isnin lalu, walaupun kontrak sudah berakhir pada 23 Februari lalu.
Menerusi notis pemberhentian itu, Ahmad Idham mahupun Eizlan tidak diberikan penjelasan mengapa perkhidmatan ditamatkan dengan serta merta.
“Saya terima surat penamatan kontrak pada Isnin lalu, namun, surat bertarikh 23 Februari lalu.
“Dalam surat, memang tidak dinyatakan sebab khidmat kami ditamatkan. Kami juga tidak pernah dipanggil atau menerima surat amaran jika melakukan kesalahan selama bertugas.
“Kami terus terima surat perkhidmatan yang ditamatkan,” katanya kepada BH Online.
Ahmad Idham dan Eizlan ditemui pada sidang akhbar tergempar bagi menjawab persoalan ditamatkan perkhidmatan secara virtual, petang ini.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan.
Difahamkan, ia berlaku dalam tempoh 24 jam, namun, Saifuddin tidak menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan.
Ahmad Idham berkata, sidang akhbar diadakan bukan bermaksud memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi penjelasan selepas menerima panggilan tidak henti-henti daripada penggiat seni dan media massa.
“Sebenarnya, saya tiada niat nak buat sidang akhbar atau membuat penjelasan secara terbuka. Ini kerana saya dan Eizlan sudah menerima surat penamatan kontrak lima hari lalu.
“Kami menghormati keputusan menteri. Selama ini, kami mempunyai hubungan baik dengan Saifuddin dan orang pun tahu banyak kisah kejayaan kami bersamanya.
“Jujurnya, saya terpinga-pinga dan terkejut apabila menerima surat pemberhentian ini. Ini kerana mengikut tatacara kerajaan, kami akan menerima surat amaran, dipanggil atau seumpamanya sebelum diberhentikan.
“Jadi, kami tertanya-tanya apa salah kami apabila menerima surat dengan cara begini. Kami tahu setiap menteri mempunyai kuasa untuk menamatkan kontrak kakitangan.
“Disebabkan itu, saya dan Eizlan mengambil pendekatan mendiamkan diri sehingga menteri sendiri memberi penjelasan,” katanya kepada BH Online.
Beliau berkata, dia tampil dalam sidang akhbar tergempar bukan mahu menegak benang yang basah.
“Kami mahu menjelaskan perkara sebenarnya agar tiada spekulasi atau tohmahan daripada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Pasti ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kekeliruan ini,” katanya.
Tegasnya, Kementerian Luar mahupun Saifuddin wajar memberikan penjelasan padanya, Eizlan dan seluruh penggiat industri kreatif terhadap kekeliruan berlaku.
“Apabila mengeluarkan kenyataan tanpa menyatakan sebab, jadi timbul spekulasi. Itu sangat bahaya.
“Perkara ini mungkin akan menjejaskan reputasi saya dan beliau sendiri. Beliau harus ada alasan kukuh apabila memberhentikan saya dan Eizlan dengan cara begini.
“Melihat sejarah, jarang berlaku penamatan perkhidmatan seperti ini, melainkan melakukan kesalahan. Tetapi, apa kesalahan saya dan Eizlan?
“Jadi, wajar untuk beliau memberi penjelasan bukan hanya pada saya dan Eizlan, malah seluruh penggiat seni perlu tahu. Ini kerana saya dan Eizlan mewakili industri kreatif negara,” katanya.
Katanya, dia juga mahu tahu apa yang kesalahan dilakukan agar boleh memperbaiki kesilapan demi kebaikan pada masa hadapan.
“Saya tak kisah membuat permohonan maaf atau bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jika benar-benar bersalah,” katanya.
Terdahulu, lantikan Ahmad Idham dan Eizlan selaras objektif membangunkan Diplomasi Budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia pada 1 November, tahun lalu.
Sebelum pelantikan itu, Ahmad Idham adalah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, manakala Eizlan sebagai Ahli Perbadanan yang turut memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




