khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa sasaran Lembaga Disiplin BERSATU adalah untuk mengenakan tindakan terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, semasa dipanggil Lembaga Disiplin BERSATU sebelum ini, beliau ditanya mengenai peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
“Sebenarnya sasaran utama Lembaga Disiplin adalah mereka mahu tindakan dikenakan kepada Ketua Pembangkang. Sebab itu kami yang dikenakan tindakan disiplin ini hanyalah ‘collateral’ (cagaran) sebenarnya.
“Sasaran utama adalah Hamzah Zainudin. Sebab itulah kami buat sidang media di sini sebab saya rasa rakyat dan ahli BERSATU perlu tahu, apa yang ada hari ini dalam BERSATU ialah kepincangan luar biasa.
“Malangnya, perkara ini dibiarkan berterusan oleh Presiden kami sendiri. Ini satu yang mengecewakan,” katanya sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya juga mahu membuat ‘Jelajah Selamatkan Maruah Parti BERSATU’ untuk menerangkan kepada akar umbi, namun perkara itu dihalang oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Setiausaha Agung BERSATU mengeluarkan pekeliling menghalang mana-mana ahli BERSATU untuk berjumpa dengan kami yang sudah dikenakan tindakan disiplin ini,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa, proses rayuan dibuat olehnya dan ahli BERSATU lain yang digantung serta dipecat tidak boleh diproses berikutan Lembaga Disiplin tidak dapat bersidang.
“Surat pengesahan (rayuan) telah diterima oleh Pengerusi Lembaga Rayuan yang mana ketika ini dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Shah Alam dan Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Zulkifli Nordin. Beliau satu-satunya Ahli Lembaga Rayuan berada dalam BERSATU.
“Mengikut perlembagaan parti, korum Lembaga Rayuan ialah tiga orang. Jadi sebenarnya Lembaga Rayuan tidak dapat bersidang kerana tidak cukup ahli yang perlu dilantik oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Selagi mana Lembaga Rayuan tidak bersidang, selagi itulah tiada keputusan muktamad berkaitan kes yang kami hadapi. Kalau tengok apa yang berlaku ini, lagi lambat perkara ini diselesaikan rayuannya, ia satu kezaliman kepada kami sebab rayuan tidak boleh diproses,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




