'Apa yang diluah, biarlah berlalu' – Siti Sairah

'Apa yang diluah, biarlah berlalu' – Siti Sairah

am@hmetro.com.my

Gombak: “Apa yang saya tulis itu adalah luahan yang terpendam dan bila sudah diluah, biarlah ia berlalu,” kata penyanyi Siti Sairah, 42, ketika ditanya sama ada dia merujuk kepada seseorang berhubung hantarannya di Instagram (IG), baru-baru ini.

Sairah berkata, dia tidak mahu mendedahkan individu yang dimaksudkan dalam perkongsiannya itu.

“Sebenarnya, saya tak nak komen hantaran itu ditujukan kepada siapa dan biarlah ia menjadi rahsia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung berjudul Mendewasa dendangan anaknya, Ahmad Dayyan (Amad), di sini, semalam.

Ditanya sama ada hantarannya itu adalah amaran kepada mereka yang memiliki sifat hasad dengki pula, kata Sairah, dia mengakui setiap insan di dunia tidak dapat lari daripada mereka yang memiliki sifat hasad dengki.

“Apa yang penting, saya sudah ajar anak-anak supaya sentiasa fikir positif pada orang kerana saya sendiri tidak pernah fikir negatif terhadap orang lain.

“Jadi, mereka yang di luar sana yang ada perasaan (hasad dengki) itu cepat-cepat kita beringat supaya perasaan yang jahat itu tak perlu nak kita ikut kerana tak beri apa-apa kebaikan,” katanya.

Pada masa sama, kata Sairah, dia memang akan sentiasa melindungi ahli keluarganya daripada sebarang perkara tidak diingini.

“Walau apa pun yang terjadi memang saya akan menjaga keluarga saya.

“Saya memang ambil langkah berjaga-jaga sekarang sebab sentiasa fikir positif dengan orang dan tidak fikir dia ada niat jahat ataupun sebaliknya.

“Bila terjadi macam (insiden) sebegitu, saya kini lebih berhati-hati dengan sesiapa saja,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Sairah di Instagram meminta seseorang untuk menghentikan niat dan perbuatan buruk sekali gus menimbulkan persoalan kepada pengikutnya di media sosial.

“Hentikanlah niat dan perbuatan buruk itu. Allah masih lagi melindungi aib awak dari orang lain tahu.

“Saya dan suami serta keluarga dengan jalan kami. Jangan berpaksikan dengan syirik,” kongsinya.

Dalam laporan sebelum ini, Amad dilaporkan menahan kesakitan dan tiba-tiba rebah, tetapi sempat disambut kru bertugas ketika membuat persembahan akhir program realiti Talk To My Manager (TTMM).

Kejadian yang menimpa Amad itu menimbulkan pelbagai spekulasi ramai termasuk dakwaan dirinya berdepan gangguan mistik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top