Apa yang penting dapat berikan yang terbaik buat peminat

Apa yang penting dapat berikan yang terbaik buat peminat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

“SEBAGAI penyanyi, saya tidak kisah pun ‘show’ (persembahan) itu besar atau kecil. Bagi saya asalkan dapat menghibur penonton yang hadir, satu kepuasan tidak terhingga pada diri.”

Demikian kata penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan, 37, yang menyuarakan sikap terbukanya untuk menerima sebarang tawaran persembahan tanpa mengira skala acara demi mendekati peminat.

Aizat yang sudah 18 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air sejak menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2008 berkata, keutamaannya kini adalah memberikan kepuasan hiburan maksimum kepada penonton.

Berikutan itu, pelantun lagu Hanya Kau Yang Mampu ini melahirkan rasa syukur apabila dipilih untuk menjayakan persembahan di Konsert Spotlight KL yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.

“Walaupun ‘show’ konsert ini boleh dikatakan berskala kecil tetapi tidak mengapa sebab saya diberi sesi masa 90 minit untuk buat persembahan dan hiburkan penonton.

“Tempoh itu lama sebenarnya, namun saya suka sebab ada banyak masa dan lagu yang mungkin dapat saya nyanyikan nanti. Apapun, saya akan beri persembahan terbaik,” katanya.

Memiliki katalog lagu yang luas, Aizat merancang untuk tampil adil terhadap karyanya dengan memilih seleksi lagu popular serta lagu yang jarang didengar untuk dipersembahkan secara akustik.

“Apa yang pasti, bila saya buat ‘show’ bukan sahaja menyanyi tetapi kena main gitar juga. Sebab, kalau ada gitar di sisi saya pasti penonton akan dapat rasa kejujuran persembahan sebenar daripada saya,” katanya lagi yang menyasarkan persembahan itu nanti memberikan pulangan berbaloi buat penonton.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran acara berskala kecil berbanding konsert mega, Aizat menjelaskan situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini turut memberi kesan kepada kuasa membeli tiket dalam kalangan peminat.

“Dalam situasi global sekarang dengan peperangan berlaku walau jauh di Iran sana, namun kesan kepada ekonomi dan pendapatan masyarakat tetap dirasai. Tidak boleh nak elak.

“Jadi, untuk itu saya rasa tidak semua orang berkemampuan untuk datang tengok ‘show’ nyanyian kalau harga tiket terlalu mahal. Oleh itu, adanya ‘show’ yang kecil dianjurkan juga penting,” jelasnya yang menganggap ruang persembahan kecil sebagai lubuk rezeki yang wajar dihargai.

Ditanya mengenai cabaran menghasilkan karya baharu, Aizat tidak menafikan statusnya sebagai komposer berpengalaman tidak mengecualikan dirinya daripada merasai tekanan dan kerisauan terhadap penerimaan peminat.

“Sebenarnya, kita sebagai komposer apabila mencipta lagu tidak kiralah mereka itu sudah berpengalaman atau komposer muda generasi baharu, rasa tertekan memang dialami. Ini kerana, ia produk lagu baharu yang kita sendiri tidak tahu akan dapat sambutan baik atau sebaliknya.

“Maka, sama ada dia komposer lama atau baharu, macam saya cakap tekanan akan ada. Ditambah lagi sekarang ini adalah masa pengaruh kuasa ‘viral’ (tular),” ujarnya yang memilih untuk kekal berfikiran terbuka dan terus berusaha mendepani perkembangan pesat industri seni tempatan.

‘Move on’ kalau lagu tidak menjadi

Berbicara pengalamannya berhadapan situasi lagu baharu dilancarkan tetapi tidak menjadi, Aizat berkata memang banyak juga lagu ciptaannya yang tidak boleh ‘pergi jauh’ sebagaimana diharapkan.

“Terus-terang, ada banyak lagu yang saya lancarkan kepada pendengar tidak menjadi. Pada saya sendiri, bila dengar melodi dan lirik lagu itu sudah terasa pasti pendengar akan suka dan terima.

“Namun, selepas dilancarkan ia seperti tidak boleh pergi ke mana. Sekali gus, tak menjadi dan apa yang boleh dibuat kita ‘move on’ sahaja. Teruskan lagi cipta lagu baharu yang lain.

“Jadi, daripada situasi ini saya melihat dalam kehidupan kita memang kena ada pengalaman pernah gagal. Termasuk, jangan sesekali cepat berputus asa.

“Macam dulu, single pertama saya berjudul Sahabat boleh dikatakan tidak menjadi. Tetapi, siapa sangka dengan single Hanya Kau Yang Mampu berjaya bawa nama saya dikenali ramai,” ujarnya.

Jelas Aizat yang muncul dengan single duet terbaharu, Ajar Aku bersama kumpulan SOG pada 14 Mei lalu, semangat sebagai penggiat seni kena sentiasa kuat dan pada masa sama positif dalam berkarya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top