WALAUPUN dunia digital menawarkan segala kemudahan di hujung jari, namun kehebatan teknologi itu tersimpan bahaya yang boleh melunturkan iman dan akhlak terutama dalam kalangan remaja.
Masakan tidak, gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba bukan sahaja menjadi alat komunikasi semata-mata, tetapi seakan sudah mengambil alih peranan sebagai ‘guru’ yang mendidik nafsu manusia.
Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris menjelaskan, gajet yang pada asalnya dicipta untuk memudahkan urusan kehidupan kini berubah menjadi medium utama yang mencorakkan pemikiran, perasaan dan perlakuan manusia terutamanya anak muda.

USTAZ MUHAMAD AZLAN
“Fenomena itu berlaku apabila kawalan terhadap hawa nafsu semakin lemah dan rasa malu kian terhakis dalam jiwa umat Islam.
“Bayangkan nafsu menjadi ‘murid’ setia kepada gajet yang menawarkan segala bentuk hiburan termasuk yang melalaikan dan mengundang dosa,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Dalam pada itu, pendakwah tersebut menjelaskan, antara punca kerosakan akhlak remaja pada hari ini termasuklah ketagihan terhadap rangsangan digital, budaya hedonisme, normalisasi kandungan lucah dan kurang pendidikan rohani.
“Apabila nilai malu hilang, maka nafsu akan lebih mudah menguasai diri. Nafsu yang tidak dikawal ibarat api yang membakar, sedangkan rasa malu adalah benteng untuk menghalangnya,” jelasnya sambil merujuk kepada ayat ke-53 surah Yusuf tentang sifat nafsu yang cenderung menyeluruh kepada kejahatan.

KETAGIHAN terhadap rangsangan digital antara punca kerosakan akhlak remaja pada hari ini, di samping budaya hedonisme, normalisasi kandungan lucah dan kurang pendidikan rohani. -Foto: CANVA
Hakikatnya, ujar Ustaz Muhamad Azlan, Islam telah menegaskan larangan keras mendekati zina termasuk apa jua bentuk perbuatan menghampirinya seperti menghantar gambar atau video lucah dan melakukan panggilan video berunsur seksual.
ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)
Bersandarkan fakta itu, pendakwah tersebut menegaskan bahawa menghantar gambar atau video lucah merupakan dosa besar kerana termasuk sebagai menyebar kekejian.
Bahkan katanya, ALLAH SWT mengancam azab pedih bagi penyebar kekejian menerusi ayat ke-19 surah an-Nur.
“Panggilan video lucah juga dihukum sama dengan melihat aurat bukan mahram kerana secara langsung menurut hadis tentang zina mata, mulut dan telinga jika disertai perbuatan lucah.
“Justeru, perbuatan seperti bermesra secara digital, menghantar gambar atau video lucah dan melakukan panggilan video berunsur seksual termasuk dalam kategori mendekati zina dan diharamkan sama sekali,” ungkapnya.
Benteng diri daripada kerosakan digital
Dalam dunia yang terlalu terbuka kini, bagaimana Islam membimbing ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan iman lantaran kebanyakan remaja ‘dibesarkan’ oleh internet dan media sosial?

ISLAM menekankan dua perkara asas dalam pendidikan anak-anak iaitu menanamkan Tauhid sejak kecil dan mengawal penggunaan teknologi dengan pendekatan berhemah. -Foto: CANVA
Menjawab persoalan itu, Ustaz Muhamad Azlan menjelaskan, Islam menekankan dua perkara asas dalam pendidikan anak-anak iaitu menanamkan Tauhid sejak kecil dan mengawal penggunaan teknologi dengan pendekatan berhemah.
“Rumah perlu menjadi madrasah pertama. Bacaan al-Quran, kisah para nabi dan persekitaran beriman adalah benteng utama daripada kerosakan digital.
“Ingatlah, teknologi sebenarnya merupakan alat bantu sahaja, bukannya pengganti peranan ibu bapa,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan tentang kesan jangka panjang pendedahan kepada bahan lucah, antaranya ketagihan pornografi, gangguan emosi, kerosakan hubungan sosial dan kemerosotan nilai moral.
“Remaja seharusnya sedar bahawa setiap klik, mesej atau tontonan mereka diketahui oleh ALLAH walau tersembunyi daripada pandangan manusia,” katanya.

TEKNOLOGI sebenarnya merupakan alat bantu sahaja, bukannya pengganti peranan ibu bapa mendidik anak-anak. -Foto: CANVA
Kepada anak muda Islam, penceramah itu menitipkan pesan bahawa dunia digital ibarat hutan yang mana ada buah halal dan terdapat juga racun berbisa.
“Jadilah pemilih yang bijak. Tundukkan pandanganmu, peliharalah kehormatanmu dan bertanyalah dalam hati ‘Adakah Rasulullah SAW reda melihat perbuatanmu?’” pesannya.
ANEKDOT
Kesan pendedahan bahan lucah
– Pendedahan awal kepada bahan lucah mengakibatkan penyimpangan pemahaman tentang seksualiti dengan membentuk gambaran palsu tentang hubungan intim.
– Ketagihan pornografi mengganggu fungsi otak sama seperti ketagihan dadah, merosakkan fokus, motivasi dan keupayaan pembelajaran.
– Boleh berlakunya risiko gangguan emosi seperti kemurungan, keresahan dan kecelaruan persepsi tubuh meningkat akibat membandingkan diri dengan fantasi tidak realistik.

PANTAU penggunaan gajet anak-anak agar tidak terdedah dengan pangaruh negatif yang menyimpang daripada landasan agama. -Foto: CANVA
– Pudarnya nilai moral, berlaku proses normalisasi perbuatan keji dan menghakis rasa malu dalam diri.
– Peningkatan tiga kali ganda kecenderungan kepada aktiviti seksual pra-nikah dalam kalangan remaja yang sering terdedah kepada bahan lucah.
– Kerosakan hubungan keluarga berisiko berlaku akibat masalah seksual, kurang kepuasan perkahwinan dan kesukaran membentuk hubungan emosi mendalam.