APAD digesa siasat gangguan berulang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya

APAD digesa siasat gangguan berulang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa menyiasat insiden gangguan berulang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang berlaku pada awal Ramadan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam hantaran di Facebook berkata, beliau memandang serius perkara itu dan menegaskan rakyat berhak menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien, selamat dan boleh diharap, lebih-lebih lagi ketika Ramadan yang menyaksikan peningkatan jumlah penumpang pada waktu puncak.

“Saya sudah mengarahkan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.

“Saya juga akan mengarahkan APAD untuk menyiasat insiden-insiden terbabit dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah,” katanya.

Terdahulu, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dilapor mengalami gangguan sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.

Beberapa klip video tular di media sosial turut memaparkan orang ramai terpaksa bersesak di Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa stesen lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top