Apartmen penuh mercun terbakar, seorang lelaki ditahan

Apartmen penuh mercun terbakar, seorang lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki susulan kebakaran sebuah unit apartmen di Persiaran Bangi Avenue di Kajang, malam tadi yang disyaki berpunca daripada mercun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada 10.50 malam.

Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bersama anggota Balai Polis Bangi bergegas ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dikawal tidak lama kemudian.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang dibeli dan disimpan bagi tujuan jualan tanpa sebarang lesen dan permit, sehingga mengakibatkan keseluruhan unit terbakar.

“Sehubungan itu, pihak polis menahan penyewa unit berkenaan iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga peniaga ditahan pada 12.17 tengah hari tadi di Bangi dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

“Siasatan kebakaran atau ‘fire report’ turut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya yang turut memaklumkan angka kerugian akibat insiden masih belum dapat ditafsirkan.

Naazron berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi syarat lesen dan permit dalam mengendalikan sebarang bahan letupan. Kegagalan mematuhi syarat ini akan menyebabkan tindakan tegas diambil berlandaskan undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Ravin Ragayan di talian 012-6269250.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top