'Api marak terlalu cepat, tak sempat selamatkan barangan berharga'

'Api marak terlalu cepat, tak sempat selamatkan barangan berharga'

Bagan Datuk: Seorang mangsa kebakaran yang memusnahkan 23 premis di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang dekat sini awal pagi tadi, mendakwa api marak terlalu cepat dan mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan berharga.

Chan Huan Peng, 56, berkata kebanyakan penghuni yang terlibat sedang tidur, selain ada antara pemilik tiada di rumah masing-masing kerana sedang bercuti.

Chan berkata dia dikejutkan oleh abang iparnya apabila terhidu bau asap dan kemudian diberitahu rumah jiran mereka terbakar.

“Apabila saya menjenguk keluar rumah menerusi tingkap, saya lihat rumah jiran di belakang rumah saya sedang terbakar.

“Api merebak terlalu cepat dan saya bersama abang ipar sempat menyiram air ke bahagian belakang rumah kami.

“Kemudian saya bantu menyiram air ke dinding rumah jiran yang lain kerana ketika itu mereka sedang bercuti di Kuala Lumpur. Suasana ketika itu memang panik sehingga pihak bomba sampai ke lokasi,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Chan berkata walaupun kejadian itu memusnahkan banyak rumah penduduk, namun beliau berasa lega tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Chan Huan Han, 40, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur bersama isteri dan anak tunggalnya sebelum menerima panggilan telefon daripada ibunya yang bercuti di Melaka memaklumkan kebakaran sedang berlaku.

“Saya kejutkan isteri untuk membawa anak kami keluar dari rumah. Di luar rumah orang ramai sedang cuba memadamkan api daripada merebak lebih besar.

“Apabila api merebak sangat cepat, kami jadi cemas dan panik sehingga tidak sempat berbuat apa-apa selain daripada menyelamatkan diri serta menunggu pihak bomba tiba,” katanya.

Chan berkata selepas berjaya membawa keluar keluarganya daripada rumah itu, dia bersama penduduk yang lain terus membantu pihak bomba memadamkan api.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi tadi, sebanyak 23 premis membabitkan 19 rumah, sebuah rumah ibadat bukan Islam, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit musnah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top