'Api merebak cepat, nasib baik sempat selamatkan diri'

'Api merebak cepat, nasib baik sempat selamatkan diri'

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: “Api daripada hutan terbakar merebak terlalu cepat dan menghampiri kawasan rumah, nasib baik ada penduduk yang datang mengetuk pintu rumah supaya kami segera menyelamatkan diri,” luah Ilham Masid, 44,

Ilham berkata, dia dan suami, Adil Hassan, 54, serta tiga anak berusia 13 hingga 21 tahun, bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri selepas sekeliling hutan tanah gambut di sekitar kediaman terbakar dan mereka mungkin kelemasan jika tidak keluar dalam kejadian seminggu yang lalu.

Katanya, tambahan pula, jarak rumahnya agak jauh sekitar tiga kilometer daripada penempatan lain dan semasa menyelamatkan diri, laluan untuk keluar juga sudah hampir tertutup dengan api setinggi tujuh meter.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kediaman kami selamat mungkin kerana ia didirikan di atas tanah tambun walaupun jarak hutan dengan rumah hanya beberapa puluh meter sahaja.

“Selepas dibantu pihak bomba dan diberitahu bahawa keadaan benar-benar selamat, barulah kami sekeluarga pulang ke rumah selepas menumpang dahulu di rumah jiran akibat kejadian terbabit.

“Walaupun sudah seminggu kejadian ini berlaku, namun kami masih berada dalam ketakutan kerana ada sahaja kawasan berdekatan yang tiba-tiba berasap atau terbakar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Kulim, Bukit Tuku, di sini, kelmarin.

Hasil tinjauan mendapati, terdapat juga beberapa penduduk kampung yang berpindah sementara ke lokasi lain terutama mereka yang berpenyakit kerana tidak tahan dengan udara tercemar.

Ilham berkata, mereka kini terpaksa menghidu menghidu asap serta udara tercemar akibat kebakaran berkenaan sehingga mengalami sakit tekak dan batuk.

“Kami tiada tempat lain untuk berteduh jadi terpaksa tinggal di sini walaupun dalam keadaan udara yang tidak sihat. Semoga kebakaran hutan ini segera pulih kerana masih ada beberapa kawasan berdekatan penempatan ini yang masih terbakar.

“Sejak dua hari ini ada sahaja hujan, tetapi tidak lebat dan hanya sekejap sahaja. Kami risau jika panas terus berpanjangan banyak lagi kawasan yang mengalami nasib sama.

“Terima kasih kepada pihak bomba serta agensi lain yang terbabit memadamkan kebakaran di kawasan ini malah saya sendiri dapat melihat perit jerih anggota yang bertugas tidak kira siang atau malam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd