
Rangkaian penuh produk APLB yang dipamerkan di Trial Bar sempena pelancaran rasmi baru-baru ini.
TOHTONKU Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi jenama penjagaan kulit berasaskan sains dari Korea, APLB, yang kini boleh didapati di semua cawangan Guardian Malaysia.
Dikenali dengan falsafah ‘bahan sederhana dengan hasil terbaik’, APLB menawarkan penyelesaian penjagaan kulit berprestasi tinggi yang sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif.
Pengarah Eksekutif Tohtonku, Jasper Lim berkata, falsafah tersebut mencerminkan janji APLB untuk memberikan hasil yang ketara tanpa menjejaskan kesihatan kulit.
“Formulasi APLB direka khas untuk menangani keperluan pencerahan, penghidratan, antipenuaan dan menenangkan kulit. Ia kekal selamat serta sederhana walaupun untuk kulit sensitif.
“Pengguna di Malaysia kini semakin bijak dan selektif. Mereka mahu produk yang berkesan serta mengetahui kandungan bahan di dalamnya. APLB memenuhi permintaan ini dengan sempurna berasaskan sains dan mesra kulit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang turut dihadiri pengasas APLB, Randy; Pengurus Besar Tohtonku Malaysia, Winnie Pok; Ketua Kewangan Kumpulan, Rantaian Bekalan & Perolehan Tohtonku Malaysia, Carol Chong; dan Pengurus Besar (Komersial) Guardian Malaysia, Tiffany Choo, selaku rakan runcit rasmi jenama tersebut.

Dari kiri: Winnie, Tiffany, Jasper, Randy dan Carol hadir memeriahkan majlis pelancaran APLB baru-baru ini.
Untuk rekod, APLB telah meraih pengikut setia di seluruh dunia apabila menduduki tempat pertama terlaris di gedung kecantikan paling dipercayai di Korea, Olive Young, serta YesStyle di Hong Kong.
Kejayaan jenama tersebut didorong oleh keupayaan unik menggabungkan bahan aktif seperti Glutathione, Niacinamide dan ekstrak Centella dengan teknologi penghantaran bahan aktif termasuk Microfluidizer dan Wide-Spread Technology.
Kemunculan jenama itu di Malaysia disokong dengan pelbagai kempen interaktif, aktiviti sampel produk dan kandungan pendidikan untuk membantu pengguna memilih penjagaan kulit yang tepat mengikut keperluan masing-masing.
Tema kempen ‘Find Your +2’ menekankan prinsip utama APLB iaitu menggabungkan bahan aktif terbaik dengan teknologi yang tepat bagi menghasilkan keputusan maksimum.
Rangkaian penuh APLB termasuk produk penjagaan kulit, penjagaan badan dan pembersih kini boleh didapati di 315 cawangan Guardian di seluruh negara.