bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia hari ini melancarkan aplikasi ‘Working ForWorkers’ (WFW) yang menjadi medium untuk memastikan hak dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat salah laku majikan, terpelihara serta kejadian sama tidak berulang.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata aplikasi itu secara tidak langsung dapat memastikan majikan dan pekerja patuh kepada undang-undang perburuhan negara manakala identiti pekerja yang mengemukakan aduan akan dirahsiakan.
Katanya, WFW berada bawah modul e-complaint, berasaskan kepada Sistem (FWCMS) yang membolehkan pekerja melaporkan 14 jenis aduan secara dalam talian melalui aplikasi yang dibangunkan serta dikendalikan oleh 80 Pejabat Tenaga Kerja seluruh negara.
“Semua aduan akan dikendalikan oleh 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh Malaysia dan tindakan aduan yang disalurkan mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari dengan status pelaporan akan dipantau secara masa nyata oleh pengurusan tertinggi KSM,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran aplikasi itu hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Awang Hashim dan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Jamil Rakon.
Aplikasi WFW adalah testimoni kerajaan khususnya KSM memandang serius serta bersikap telus dalam mengendalikan isu perburuhan di peringkat nasional.
Inisiatif itu juga dapat meningkatkan imej dan kredibiliti negara terutama selepas mengambil kira sekatan terhadap produk eksport negara oleh negara luar berikutan pelanggaran undang-undang perburuhan seperti isu buruh paksa termasuk penginapan pekerja.
Saravanan berkata, WFW dilancarkan sempena Hari Pekerja 2021, bersesuaian dengan tema tahun ini ‘Pembudayaan Norma Baharu dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’ yang membolehkan pekerja mengemukakan aduan tanpa hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.
Katanya, WFW turut membabitkan kerjasama semua jabatan dan agensi di bawah KSM berikutan ia memerlukan kerjasama kolektif sebagai satu pasukan dalam menangani sebarang aduan yang dikemukakan berkenaan isu berkaitan perburuhan, secara dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, KSM bercadang melaksanakan e-Wages untuk memantau pembayaran gaji kepada pekerja bagi memastikan gaji dibayar mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, KSM juga akan memperkenalkan sistem dalam talian e-Quota untuk pengambilan pekerja asing baharu bagi memastikan ketelusan dan mengekalkan manipulasi dalam proses itu yang tersedia bawah FWCMS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




