am@hmetro.com.my
Muar: Sejak mula diperkenalkan hampir setahun lalu, aplikasi pembayaran tempat letak kereta, Parkmax@Johor mendapat sambutan menggalakkan kerana mudah digunakan dan mesra pengguna.
Aplikasi Parkmax@Johor membolehkan pengguna membuat bayaran parkir secara digital bagi menggantikan penggunaan kupon fizikal.
Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudah menggunakan sistem ini iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Labis (MDL) dan Majlis Daerah Mersing (MDM).
Turut menggunakan sistem sama adalah Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Tangkak (MDT), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP).
Penduduk Gan Q’i Ru, 42, yang menggunakan aplikasi Parkmax@Johor sejak hampir setahun lalu sempat berkongsi pengalaman mengenai sistem ini khususnya di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Muar (MPM).
“Sistem parkir pintar ini memang baik dan mudah digunakan, malah saya turut mengajar warga emas mengenai cara penggunaannya dan mereka cepat mempelajarinya.
“Aplikasi Parkmax@Johor banyak memberi manfaat kerana kita tidak perlu lagi bimbang tentang kehilangan atau kehabisan kupon fizikal,” katanya ketika ditemui di sini.
Pengguna lain, Kartik Kumar, 40, pula berkata penggunaan aplikasi Parkmax@Johor banyak membantu terutama mereka yang kesuntukan masa.
“Tidak perlu lagi saya mencari ejen untuk membeli kupon kerana semuanya di hujung jari. Memandangkan teknologi semakin berkembang, penggunaan aplikasi ini sangat sesuai,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di kawasan pentadbiran MBIP mendapati orang ramai mula menggunakan sistem bayaran parkir digital, Parkmax@Johor.
Guru, Nur Aisyah Adnan, 29, berkata penggunaan sistem bayaran parkir yang baharu itu jauh lebih mudah kerana dapat menjimatkan masa tanpa menggunakan kupon.
Pekerja swasta, A Raymund, 38, berkata selain menjimatkan masa, pelaksanaan sistem bayaran parkir digital itu menaikkan imej bandar raya yang dilihat semakin moden.
“Sebenarnya, pelaksanaan sistem parkir digital seperti ini dapat menaikkan bukan sahaja imej bandar raya, tetapi imej negara yang menggunakan teknologi dalam memudahkan kehidupan rakyat,” katanya.
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, A Thanam, 32, berkata kini pengguna tidak perlu lagi mencari kupon parkir sekali gus mengurangkan penggunaan kertas dalam kehidupan harian.
“Jika dulu, satu hal nak kena cari kupon. Kalau tak jumpa kupon, tak letak kupon, kena kompaun pula. Sekarang mudah sahaja, bila lupa, pergi mana-mana pun boleh buka aplikasi, buat pembayaran terus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd