rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Gara-gara menggunakan aplikasi navigasi menjadi punca sebuah bas ekspres melanggar palang had ketinggian di Jalan Mutiara, Bandar Putra Mahkota, Bangi di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan dilaporkan berlaku jam 11.25 malam.
Menurutnya, bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 62 tahun itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Negeri Sembilan dan Melaka dengan membawa 21 penumpang terdiri daripada 19 dewasa serta tiga kanak-kanak.
“Siasatan mendapati pemandu bas yang menggunakan aplikasi navigasi tidak menyedari terdapat palang had ketinggian di laluan berkenaan.
“Bas kemudian melanggar palang itu sehingga tersekat di bawah besi penghalang berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan atas bas pecah dan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, tujuh penumpang termasuk pemandu bas cedera dan kesemua mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala penumpang tidak cedera dibenarkan pulang.
“Empat mangsa yang cedera dirawat di Hospital Serdang manakala tiga lagi mangsa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 012-5897115.
Terdahulu, media melaporkan Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Azmi Hamid memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 10.30 malam.
Seramai tujuh individu membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an dilapor cedera.
© New Straits Times Press (M) Bhd