Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang memperluas penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) kepada aplikasi mudah alih bagi menangani isu pengagihan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket sebulan yang disasarkan kepada rakyat tempatan khususnya golongan B40.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aplikasi itu dibangunkan bagi melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan yang bermula daripada peringkat pengagihan hingga pembelian oleh pengguna akhir.
Beliau berkata, aplikasi itu, yang kini dilaksanakan secara rintis menerusi Program Jualan Rahmah, turut berperanan membantu membendung isu pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga asing selain mengelakkan ketirisan dan penyelewengan bahan keperluan asas tersebut.
“Jadi kita boleh ada data melalui aplikasi ini, ke mana peruncit ini jual, siapa pembelinya dan jumlah pembelian.
“Ramai Ahli Yang Berhormat menyebut untuk kita melarang pembelian oleh warga asing… ini juga dapat dilaksanakan kerana aplikasi mudah alih tersebut akan disandarkan kepada data Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju untuk terbabit dalam pelaksanaan projek rintis aplikasi berkenaan.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan permasalahan eCOSS antaranya Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang mencadangkan agar subsidi minyak masak ditukar kepada bantuan bersasar dalam bentuk e-baucar menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan kelemahan serius dalam sistem itu seperti yang didedahkan dalam LKAN.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula berkata, larangan penjualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing perlu dikuatkuasakan serta-merta susulan berlaku penyelewengan yang serius dalam sistem pengedaran barangan keperluan asas itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd