APM gerakkan aset hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Perak – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga termasuk dari segi aset dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi banjir dalam musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam pendemik COVID-19.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata, APM diberi peranan sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.
Beliau berkata, antara aset yang bakal digerakkan ialah 900 bot pelbagai saiz di seluruh negara serta lori yang mampu mengharungi banjir setinggi 1.52 meter.
“Semua aset yang akan digunakan bergantung kepada situasi lokasi termasuk lori, pacuan empat roda serta bot kecil untuk banjir dalam bandar.
“Kami juga harap akan dapat lori tiga tan yang kecil kerana lori besar menyukarkan pasukan memasuki kawasan kampung berikutan jalan yang kecil dan terdapat banyak pokok kecil,” katanya pada sidang media ketika lawatan kerjanya ke APM Perak dan Taklimat Persediaan Banjir di APM Daerah Taiping di sini semalam.
Dalam sesi itu juga APM menerima sumbangan seunit dron DJI Mavic2 Enterprise daripada seorang pegawai bersekutu bagi membantu operasi menyelamat pasukan itu di seluruh Perak.
Beliau berkata, dron itu mampu terbang sejauh tiga kilometer dan dilengkapi kemudahan pesanan suara itu sedia digerakkan pada bila-bila masa untuk kegunaan operasi mencari dan menyelamat pasukan APM di Perak.
Selain itu Roslan berkata, aspek SOP juga antara perkara yang perlu diambil berat ialah dengan memastikan semua anggota menyelamat dan mangsa memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal di dalam bot dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sementara itu, keadaan banjir di Perak kini melibatkan 252 mangsa daripada 92 keluarga ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di negeri ini, sehingga jam 5 petang semalam.
Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, jumlah itu meningkat berbanding 246 daripada 90 keluarga pagi semalam.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian adalah paling ramai meningkat kepada 148 mangsa membabitkan 62 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman di Bagan Serai.
Manakala, jumlah mangsa banjir di daerah Larut Matang dan Selama kekal seramai 89 mangsa daripada 25 keluarga di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim.
Begitu juga dengan daerah Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

ZA137 Malay News
National Desk