APM, SG Academy meterai perjanjian bangunkan pusat latihan diiktiraf CAAM

APM, SG Academy meterai perjanjian bangunkan pusat latihan diiktiraf CAAM

Kuala Lumpur : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) muncul sebagai agensi kerajaan pertama yang memiliki pusat latihan diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus memperkukuh pembangunan kompetensi, kemahiran teknikal dan profesionalisme anggotanya.

Pengiktirafan itu hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPAT) dan peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), SG Academy, baru-baru ini.

MoU berkenaan ditandatangani Komandan PULAPAT Wilayah Timur, Syahrul Sukor dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Academy (M) Sdn Bhd, Datuk P. Sri Ganes, disaksikan Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan, Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA), PULAPAT Jengka, Effeney Ali.

Menurut Sri Ganes, kerjasama itu mengukuhkan ekosistem keselamatan awam melalui pendidikan berasaskan teknologi tinggi, khususnya dalam pengoperasian pesawat tanpa pemandu (UAV).

“Melalui perjanjian ini, APM menjadi antara entiti terawal menerima latihan khusus dron daripada pusat latihan yang diiktiraf CAAM. Dalam tempoh dua tahun, lebih 50 anggota APM sudah mengikuti latihan di bawah Remote Pilot Training Organisation (RPTO), SG Academy.

“Latihan merangkumi operasi UAV, pemetaan udara, pemantauan bencana dan pengurusan misi kecemasan,” katanya.

Tambahnya, latihan berkenaan diiktiraf sebagai platform pendidikan teknikal berimpak tinggi sekali gus membuka peluang kompetensi baharu selaras perkembangan industri dron global.

Katanya, kerjasama itu turut melonjakkan pendidikan TVET melalui kaedah hands-on dan pensijilan profesional untuk anggota APM.

“Latihan dron bukan hanya kemahiran teknikal, tetapi membentuk kepakaran strategik dalam membuat keputusan pantas ketika kecemasan. Ini evolusi pendidikan daripada bilik darjah kepada aplikasi dunia sebenar,” ujarnya.

Kerjasama ini juga selaras aspirasi negara untuk memperluas pendidikan TVET dalam teknologi masa depan termasuk dron, kecerdasan buatan (AI), pemetaan digital dan pengumpulan data udara.

SG Academy kekal antara penyumbang utama kepada ekosistem pendidikan dron negara melalui program latihan bertauliah, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan model pembelajaran berasaskan industri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top