am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat mematahkan cubaan seludup masuk kira-kira enam tan bijih timah bernilai RM600,000 selepas menahan sebuah bot barter trade dari negara jiran, semalam.
Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal, berkata bot berkenaan ditahan pada jam 3 pagi, kira-kira 0.1 batu nautika di barat daya Pulau Sialu menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan.
Beliau berkat, pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan 120 guni berisi bijih timah dengan anggaran berat keseluruhan 6,000 kilogram (kg).
“Selain itu, tiga kru bot terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak warga asing berusia antara 33 hingga 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
“Pada masa sama, perintah penahanan awal juga dikeluarkan terhadap bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, bot bersama muatan dan kru kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Batu Pahat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



