mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 628 Vesel Nelayan Asing (VNA) dengan 5,329 kru ditangkap menerusi Ops Naga sejak Mei 2019 hingga Disember 2025 membabitkan rampasan RM203.44 juta.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sejak Mei 2019, Ops Naga digerakkan secara berterusan bagi mengekang pencerobohan VNA yang menjalankan aktiviti perikanan haram dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Menurutnya, daripada 628 VNA yang ditahan, 469 adalah dari Vietnam, Indonesia (112), Thailand (59) dan China (10).
“Tangkapan tertinggi pada 2019 iaitu 197 VNA, 2020 (135), 2021 (100), 2022 (56), 2023 (56), 2024 (65) dan 2025 sebanyak 19 VNA.
“Hasil rampasan pula pada tahun 2019 sebanyak RM24.4 juta, 2020 (RM5.16 juta), 2021 (RM35.4 juta), 2022 (RM13.2 juta), 2023 (RM5.98 juta), 2024 (RM106.7 juta) dan tahun lalu sebanyak RM12.6 juta,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, nilai rampasan mencecah ratusan juta ringgit membuktikan komitmen berterusan APMM dalam memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan dan mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.
“APMM tidak akan berkompromi terhadap pencerobohan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




