Kuala Lumpur : Program Apron Ramadan, tampil dengan konsep penuh kehangatan apabila menyatukan hubungan ibu dan anak dalam kalangan personaliti berpengaruh tanah air di satu dapur bagi menyediakan hidangan istimewa kegemaran keluarga.
Dihoskan oleh pempengaruh makanan yang sedang meningkat naik, Afiq Rahim, program ini diserikan dengan gaya ceria dan mencuit hatinya dalam mengendalikan gelagat setiap keluarga selebriti terbabit.
Antara keluarga artis yang bakal mewarnai program ini termasuk pelakon popular Liza Abdullah, Lisdawati serta penampilan istimewa, penyanyi Farez Adnan dan kemunculan pempengaruh, Muhammad Mikhael Sathayah atau popular dengan Muka Gangster di media sosial.
Setiap episod memaparkan keletah unik ibu dan anak dalam suasana santai, penuh gelak tawa serta nilai kekeluargaan yang menyentuh hati.
Program 13 Episod ini disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, menerusi saluran media sosial rasmi PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di platform Instagram, Facebook dan TikTok bermula hari ini.
Menariknya, setiap episod program digital Apron Ramadan iLINDUNGu turut memberi peluang kepada penonton untuk menyertai pertandingan dengan berkongsi pengalaman bersama PERKESO di ruangan komen.
Penyertaan dengan komen paling kreatif akan dipilih sebagai pemenang dan menerima hadiah menarik daripada PERKESO.
Apron Ramadan bukan sekadar program memasak, malah menjadi platform memperkukuh nilai kekeluargaan, menghargai pengorbanan ibu serta menyemarakkan semangat Ramadan dalam suasana yang santai dan penuh inspirasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




