Aqil kini milik JDT

Aqil kini milik JDT

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menandatangani seorang pemain muda berusia 13 tahun, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi dari Terengganu.

“Remaja tersebut akan menyertai Akademi JDT di mana adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan. Luaskan Kuasamu Johor,” tulis kelab itu di Facebook Johor Southern Tigers di sini hari ini.

Baru-baru ini, nama Aqil tular selepas video dia bermain bola mencuri perhatian peminat bola sepak di media sosial.

Menurut perkongsian Football Terengganu, Aqil sememangnya berada dalam keluarga bola sepak yang mana abangnya, Arsyad Shamsul merupakan pemain bagi skuad Terengganu IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Bapanya iaitu Shamsul ‘Matcang’ merupakan lagenda skuad futsal negeri tersebut yang mana beliau menjadi ketua pasukan sehingga umur 44 tahun.

Difahamkan Aqil sebelum ini berlatih di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP).

Kemampuannya itu bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tanah air tapi juga dari negara seberang iaitu Indonesia.

Salah seorang penyokong iaitu Mafia Wasit memberikan pesanan kepada Aqil agar tidak membuat akaun Instagram atau Tiktok sehingga mempunyai pengurus untuk menguruskan hal media sosial.

Selain itu, Mafia Wasit juga berharap agar Aqil beraksi di liga luar negara dan keluar daripada saingan bola sepak Asia Tenggara. – MalaysiaGazette